Jangan bazir masa anggota polis trafik

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) digesa mengeluar, mengumum dan menguatkuasakan dengan tegas garis panduan serta peraturan penggunaan iringan polis trafik.

Naib Presiden MUDA, Zaidel Baharuddin, menegaskan penggunaannya wajar dihadkan hanya kepada individu mempunyai keperluan keselamatan seperti Perdana Menteri dan menteri kanan atau mereka yang memegang status layak.

Beliau berkata, iringan atas kapasiti luar daripada tugasan rasmi pula wajib mendapat kelulusan menteri atau Ketua Polis Negara, berserta alasan kukuh membabitkan kepentingan awam.



“Jangan bazir masa anggota dengan iringan tidak masuk akal, terutama ke atas menteri atau timbalan menteri di kementerian yang tidak kritikal,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain itu, beliau berkata, KDN juga harus mengeluarkan garis panduan jelas bahawa pengiring mestilah terhad kepada anggota keselamatan, dan bukan sehingga membabitkan pihak berkuasa tempatan serta penguat kuasa bukan trafik.

“Hentikan budaya iringan ‘VIP’ tanpa alasan munasabah. Ia menyusahkan anggota polis dan pengguna jalan raya.

“Kami juga ingin berpesan kepada menteri yang tinggal di sekitar Lembah Klang, kalau tidak mahu lewat ke pejabat atau program, keluarlah awal atau naiklah pengangkutan awam seperti LRT dan MRT,” katanya.



Zaidel berkata, pihaknya sekali gus menyambut baik pengumuman Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain, mengenai siasatan dalaman dan tindakan segera ke atas anggota berkait isu iringan polis kepada anak seorang Ahli Parlimen.

Bagaimanapun, beliau berkata, siasatan diharap tidak terhad kepada anggota saja, sebaliknya wajar membabitkan semua pihak berkaitan.

“Isu ini bukan asing. Pengguna jalan raya sudah biasa terserempak dengan penggunaan iringan polis ke atas kenderaan peribadi yang dilihat bukan atas kapasiti rasmi.

“Ini termasuklah kenderaan kementerian tidak kritikal yang memasang lampu biru mengarahkan pengguna jalan raya untuk memberi laluan ketika kesesakan,” katanya.



BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button