Liverpool masih ‘gila mengejar’ kejuaraan
BIRMINGHAM, United Kingdom: Liverpool masih “gila mengejar” Manchester City di persada Liga Perdana, kata Jurgen Klopp selepas pasukannya bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk menewaskan Aston Villa 2-1 sebentar tadi.
Dua pasukan teratas itu kini sama mata tetapi City kekal di atas berdasarkan perbezaan gol dan masih ada satu perlawanan menentang Wolves awal pagi esok.
Liverpool tidak boleh lagi mencicirkan mata selepas diikat 1-1 di laman sendiri oleh Tottenham hujung minggu lalu dan mereka bermula dengan buruk apabila Douglas Luiz meledak buat Villa selepas tiga minit permainan.
Namun Joel Matip pantas menyamakan kedudukan dan tandukan Sadio Mane 25 minit sebelum tamat membolehkan skuad Reds terus mengejar empat trofi musim ini.
“Kami masih mengejar seperti orang gila,” kata Klopp. “Kami hanya tahu kami perlu menang, itu tidak berubah dan kini kami perlu pulih untuk final Piala FA. Tiada belas kasihan.”
Bagaimanapun kemenangan itu mendatangkan risiko apabila Fabinho mengalami kecederaan otot yang menyebabkan dia diragui untuk final Piala FA Sabtu ini dan final Liga Juara-Juara menentang Real Madrid pada 28 Mei.
“Dia rasa sakit di bahagian otot, tidak berapa teruk,” kata Klopp. “Dia agak positif tetapi saya tidak pasti mengenainya.”
Dengan tumpuan terhadap aksi di Wembley, Klopp meletakkan Mohamed Salah dan Thiago Alcantara di bangku simpanan manakala tiada tempat buat Andy Robertson.
Pasukan pelawat yang banyak berubah memberikan peluang Villa memerangkap mereka.
Alisson Becker sebelum itu sudah menafikan percubaan Ollie Watkins sebelum skuad kendalian Steven Gerrard mendahului pada minit ketiga.
AFP