‘Kelas pagi ini sangat sayu’
KUALA LUMPUR: “Kelas pagi ini sangat sayu kerana kawan-kawan masih terkejut dengan pemergian sahabat mereka dalam kemalangan awal pagi sebelum Terowong Menora”.
Itu antara hantaran yang tular dan dikongsi ramai di media sosial termasuk Facebook (FB) susulan nahas mengorbankan lima pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di Kilometer (Km) 246 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara di Ipoh, tengah malam tadi.
“Mak ayah Allahyarham masing-masing berkejar dari Johor, Terengganu dan Selangor untuk mengecam mayat anak-anak mereka kerana mereka semua rentung dalam kemalangan. Al-Fatihah,” demikian menurut perkongsian berkenaan.
Mangsa yang rentung dalam nahas itu adalah Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22, dari Kuala Kubu Bharu, Selangor; Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21, dari Chukai Terengganu; Iqbal Hasnun Halimi, 23, dari Senai, Johor; Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, dari Batu Caves, Selangor dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20, dari Parit Buntar, Perak.
“Al-Fatihah. Moga Allah limpahkan kesabaran dan ketabahan kepada ahli keluarga. Moga Allah berikan rahmat dan keredaan kepada kehidupan mereka dunia dan akhirat,” menurut catatan itu lagi.
Muhammad Nasrun dan Iqbal Hasun adalah pelajar Sarjana Muda Pengajian Islam; Ahmad Naim Najmi (Sarjana Muda Kaunseling); Muhammad Nabil Haikal (Diploma Pentadbiran Perniagaan) dan Ahmad Akmal (Diploma Kaunseling Islami).
Semua pelajar itu difahamkan sedang keluar kawasan atau ‘outing’ ke Ipoh menaiki kereta yang disewa memandangkan tiada kelas pembelajaran semalam.
BHOnline