Hindari rasuah dalam kehidupan seharian – Raja Perlis

Arau: Kemajuan tidak dapat dicapai sekiranya amalan rasuah berleluasa dalam kehidupan seharian masyarakat.

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bertitah ,perbuatan seperti meminta, menawar, memberi dan menerima rasuah adalah salah di sisi agama dan undang-undang negara.

“Selain itu, menggunakan kuasa dan jawatan demi kepentingan peribadi dan membuat tuntutan palsu adalah sebahagian daripada amalan rasuah dan mestilah dihindari.



“Amalan rasuah jika tidak dibendung akan menyebabkan banyak masalah sosial dan seterusnya boleh mengancam kesejahteraan negara,” titah baginda sempena sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan Ke-79 Raja Perlis di Istana Arau di sini, hari ini.

Titahnya, rasuah dan salah guna kuasa akan memberi kesan langsung kepada pembangunan sesebuah negara.

“Meskipun negara dikurniakan dengan kekayaan sumber asli yang melimpah ruah, namun apabila rasuah dan salah guna kuasa menjadi satu budaya, maka kekayaan negara tidak dapat diagihkan atau diuruskan dengan sempurna.

“Oleh itu, beta berharap pihak berwajib memberi perhatian serius kepada masalah ini dan semua pihak termasuklah setiap individu, masyarakat setempat, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan turut digesa untuk aktif memainkan peranan masing-masing bagi mengatasi masalah rasuah” titahnya.



Baginda bertitah, dalam mengatasi masalah ini proses pemantauan dan tampil berani melaporkan sebarang kegiatan salah laku kepada pihak berkuasa seperti polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar siasatan lanjut boleh dilakukan.

“Dengan itu, diharapkan amalan rasuah dan salah guna kuasa ini dapat dicegah daripada menjadi barah dalam masyarakat dan negara.

“Di samping itu, penerapan nilai-nilai murni dan integriti perlulah diterapkan sejak kecil lagi terutamanya di sekolah agar suatu hari nanti negara kita dapat mencapai generasi yang bebas rasuah,” titahnya.

Terdahulu, baginda perkenan menghadiri Istiadat Perbarisan Kawalan Kehormatan yang dijalankan di Dataran Istiadat Istana Arau.



Turut berangkat adalah Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid, anakanda baginda, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Selain itu, Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man dan barisan jemaah Exco Kerajaan Negeri Perlis turut hadir dalam upacara berkenaan.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button