Guru Kafa, gura agama johan tilawah
Tawau: Berlatih selama dua jam setiap menjadi kunci kejayaan Nur Faten Izzati Rablin, 30, yang dinobatkan sebagai johan qariah Majlis Tilawah al-Quran dan Hafazan, Peringkat Negeri Sabah, 1443H/2022M buat kali keempat, malam tadi.
Guru Kafa di Pusat Islam Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu sebelum ini pernah muncul johan qariah peringkat negeri pada 2012, 2018, 2019 dan yang terbaharu malam tadi selepas mengalahkan lima peserta lain.
Pemegang Ijazah Sarjana Muda (Qiraat) dari Universiti Al-Azhar Mesir itu juga pernah muncul johan Tilawah Antarabangsa Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) 2011 di Melaka, tempat kedua Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan pada 2012 di Johor, dan tempat ketiga Tilawah Antarabangsa Belia Asia Tenggara di Brunei Darussalam pada 2014.
Nur Fateen berkata, dia juga mendapat bimbingan daripada guru mengajinya, Ustaz Anuar Ghazali yang juga Johan Qari Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa 2012.
“Alhamdulillah syukur kepada Allah kerana beri peluang lagi (johan) walaupun sebenarnya masih banyak lagi yang perlu dipelajari.
“Untuk generasi muda, jangan malu untuk belajar dan carilah guru untuk mendalami ilmu dan seni mengaji al-Quran disamping dapat memperbaiki serta meningkatkan mutu bacaan al-Quran,” katanya.
Sementara itu, johan qari disandang peserta mewakili Pantai Barat Selatan (Papar) Hamdi Yusop @ Yusof, 26, yang menewaskan enam peserta lain.
Hamdi yang juga guru agama di Sekolah Agama Negeri (SAN) Integrasi Putatan, ketika ditemui menzahirkan rasa syukur dengan kemenangan kali pertama itu.
“Insya-Allah, lebih banyak persediaan dan latihan perlu dilakukan untuk membawa cabaran seterusnya di peringkat kebangsaan nanti,” katanya.
Majlis Penutupan dan Penyampaian hadiah disempurnakan Tuan Yang Terutama Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, di Dewan Masyarakat Tawau.
METRO