TUDM kabulkan impian ‘pejuang muda’

Kuala Lumpur: Biarpun diuji dengan penyakit kanser leukimia, namun remaja, Muhammad Irfan Mikail Mohd Shukri, 15, tetap bercita-cita menjadi seorang juruterbang pesawat pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Impian itu ibarat mimpi menjadi realiti apabila pihak TUDM menunaikan hasrat `pejuang muda’ terbabit semalam.

Keinginan tinggi Irfan sebelum ini dizahirkan pihak Friend of Childhood-Cancer Northern (FOCCAN) yang menyampaikan hasrat ibu bapa remaja itu. Pasangan itu mahu memenuhi impian anak keempat mereka yang disahkan mengidap kanser leukemia ALL (Acute Lymphoblastic Leukemia).



Bahagian Perhubungan Awam TUDM, Markas Tentera Udara Kementerian Pertahanan berkata, atas dasar keprihatinan dan empati, TUDM melalui No 15 Skuadron, Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang dan bantuan Kolej Tentera Udara mengkoordinasi bersama pihak FOCCAN melaksanakan tanggungjawab sosialnya bagi merealisasikan impian Irfan yang berjuang melawan sakit kanser.

“Irfan yang diiringi ibu dan bapanya, Mazatul Rohana Saleh dan Mohd Shukri Talib dibawa dari kediaman mereka di Kampung Guar Syed Alwi, Kangar Perlis ke Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang.

“Ketibaan adik Irfan dan keluarga disambut Pegawai Laksana Pangkalan, Kolonel Engku Faizal Engku Mustafa TUDM; Pegawai Memerintah No 15 Skuadron, Leftenan Kolonel Mohd Hafiz Abu Bakar TUDM; Pegawai Perubatan Rumah Sakit Angkatan Tentera Pangkalan Udara Butterworth, Leftenan Kolonel Dr Zarina Zakiah Zainuddin; Pegawai Jiwa Murni Skuadron, Kapten Mohd Faiz Hazmi TUDM serta warga Skuadron,” menurut kenyataan itu.

Turut hadir empat pegawai dari Badan Bukan Kerajaan, FOCCAN bersama seorang lagi ‘pejuang kanser’ diketuai Siti Salmah Salleh.



“Irfan kemudiannya dibawa ke bilik persalinan dan disarungkan dengan seragam ‘flying suit’. Selepas itu, taklimat lawatan dan pengenalan ringkas berkaitan skuadron yang mengoperasikan pesawat pejuang disampaikan oleh Leftenan Kolonel Mohd Hafiz yang mengiringi sepanjang lawatan.

“Sesi lawatan bermula dengan lawatan ke Hangar No 15 skuadron untuk melihat lebih dekat di

samping bergambar bersama pesawat pejuang Hawk 108 dari No 15 Skuadron dan F/A18D dari No 18 Skuadron serta juruterbang dan kru pesawat,” jelasnya.

Sebagai meraikan tetamu istimewa TUDM ini, Irfan dan keluarga turut dipersembahkan dengan pengoperasian pesawat pejuang Hawk bermula dari pemeriksaan awal pesawat sebelum terbang, melihat pesawat berlepas dan kembali mendarat.



Irfan kemudiannya dibawa melawat ke Pusat Simulator Pejuang dan merasai pengalaman mengendalikan simulator F/A-18D.

Lawatan diakhiri dengan penyampaian cenderahati kenangan serta sumbangan kepada Irfan dan keluarga.

“Melihat insan kerdil yang diuji dengan masalah kesihatan yang kronik, ternyata Irfan adalah seorang ‘pejuang muda’ dengan semangat juangnya melawan sakit kanser.

“Semoga tanggungjawab sosial TUDM menunaikan impian Irfan dapat menggembirakan hatinya serta kedua ibu bapa.



“Seluruh warga TUDM mendoakan Irfan beroleh kesihatan yang baik, dipermudahkan segala urusan dan meminta semua turut mendoakannya,” ujar pihak TUDM.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button