Hanya perlukan IP demi keselamatan makanan

PUTRAJAYA: Pihak yang mahu membawa masuk bahan agromakanan dari luar negara, susulan penghapusan Permit Kelulusan atau Approved Permit (AP) berkuatkuasa serta merta semalam, perlu mendapatkan Permit Import (IP) bagi tujuan kawalan biosekuriti di pintu masuk negara.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MAFI), berkata tindakan itu bagi memastikan kawalan biosekuriti dan produk yang diimport adalah bebas daripada penyakit atau perosak serta diperoleh daripada loji yang diiktiraf oleh kerajaan.

“Keputusan pemansuhan AP ini adalah sebagaimana yang diputuskan Jemaah Menteri. Walaupun AP tidak lagi diperlukan untuk membawa masuk komoditi agromakanan daripada luar negara, pengimport masih perlu mempunyai IP bagi tujuan kawalan biosekuriti di pintu masuk negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.



Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan kerajaan memansuhkan keperluan AP bagi bahan makanan secara serta merta bagi memastikan bekalan makanan negara mencukupi.

Media sebelum ini melaporkan Malaysia mungkin mengalami krisis makanan yang teruk sekiranya pelbagai masalah seperti inflasi, kenaikan harga minyak, cuaca ekstrem, pandemik COVID-19 dan konflik antara Russia dan Ukraine berterusan.

Setiap tahun Malaysia merekodkan lebih RM50 bilion import bahan makanan asas dengan barangan seperti beras meliputi 30 peratus, daging lembu (78 peratus), daging kambing (hampir 90 peratus) dan sayur kobis bulat (60 peratus).

Jumlah import makanan negara terus meningkat pada kadar purata 4.1 peratus setahun daripada RM45.3 billion pada 2015 kepada RM55.4 billion pada tahun lalu.



Mengulas lanjut mengenai bahan mentah yang tidak memerlukan AP, MAFI memaklumkan bahan mentah seperti kubis bulat, kelapa tua biji, ayam termasuk ayam potong dan ayam bulat serta susu cair kini tidak lagi permit berkenaan berkuat kuasa serta merta.

Bagaimanapun AP untuk pengimportan beras masih lagi berkuat kuasa seperti sebelum ini.

“Dengan pemansuhan AP berkenaan, semua syarikat adalah dibenarkan mengimport semua komoditi agromakanan tetapi tertakluk kepada IP yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).

“Ia berserta dengan syarat yang tertulis dalam permit selaras dengan subseksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] dan juga Akta serta Peraturan lain yang berkuat kuasa.



“MAFI akan terus memainkan peranan penting bagi memastikan kelangsungan sektor agromakanan di setiap peringkat rantaian makanan sekaligus membolehkan rakyat mendapatkan bekalan makanan yang mencukupi, selamat dimakan serta berkhasiat.

“Pada masa yang sama, kebajikan pengeluar makanan tempatan juga akan terus dipelihara,” katanya.

Dengan keputusan yang dibuat itu, MAFI berharap bekalan makanan dan sekuriti makanan negara akan terus kekal terjamin bagi kesejahteraan Keluarga Malaysia.

BHOnline




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading