Krisis ayam, ada pula yang ‘sorok’ bekalan

Seremban: Sejak isu kekurangan bekalan ayam daging segar berlaku di negara ini, terdapat segelintir kakitangan pasar raya yang dikesan mengambil tempahan daripada pelanggan tanpa pengetahuan majikan.

Difahamkan ia cara mudah dilakukan pelanggan terutama membabitkan pengusaha premis makanan dengan menggunakan ‘orang dalam’ bagi mendapatkan bekalan ayam tanpa perlu berbaris panjang pada awal pagi.

Seorang pekerja pasar raya yang enggan dikenali berkata, kakitangan terbabit mendapat ‘duit tepi’ daripada pelanggan berkenaan selain ada juga kakitangan pasar raya melakukannya secara percuma atas dasar setia kawan.



Menurutnya, perbuatan itu dirasakan tidak adil kepada pembeli lain yang terpaksa berbaris pada awal pagi bagi mendapatkan ayam.

“Apa yang membuatkan saya tidak berpuas hati adalah kakitangan ini menyimpan ayam berkenaan untuk dikhaskan kepada pelanggan ‘istimewa’ sedangkan itu bukan polisi pasar raya.

“Orang lain terpaksa beratur panjang untuk membeli ayam, namun pelanggan ini boleh datang pada waktu tengah hari dan ada ayam yang sudah tersedia untuknya. Ada pelanggan yang datang lebih lambat berjaya membeli ayam ‘sorok’,” katanya.

Menurutnya, keadaan ini mencetuskan ketegangan antara pelanggan.



Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri S. Veerapan berkata, pemantauan pihaknya mendapati bekalan ayam yang sampai tidak memenuhi permintaan peniaga.

Katanya, pembekal ayam standard di pasar raya sekitar negeri ini dikesan hanya mampu membekalkan 20 peratus daripada kebiasaan bekalan dihantar.

“Terdapat pasar raya yang langsung tidak mempunyai stok bekalan ayam standard iaitu satu dikesan di Kuala Pilah dan dua pasar raya di Seremban.

“Manakala pasar basah atau awam pula, Pasar Awam Kuala Klawang dikesan tidak mempunyai bekalan ayam,” katanya tadi.



METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button