‘Kereta RM1 untuk bantu ibu tunggal’

Melaka: Seorang pengusaha bengkel kenderaan dekat Durian Tunggal di sini, hanya mengenakan bayaran RM1 kepada ibu tunggal, Jamilah Mazaki, 70, ketika menjual sebuah kereta Perodua Kancil bagi memudahkan urusan harian warga emas itu yang juga pembuat rempeyek.

Pengusaha bengkel terbabit, Shikh Muhammad Makhdad Haron, 49, berkata pada awalnya Jamilah datang bertemunya sambil memaklumkan mahu membeli sebuah kereta, namun tidak mempunyai wang mencukupi tetapi sanggup membayar ansuran secara bulanan.

Katanya, bagaimanapun sebagai warga emas, sudah pasti tiada institusi kewangan yang bersedia memberi pinjaman kepada wanita terbabit.



“Simpati dengan keadaannya yang terpaksa mengguna perkhidmatan e-hailing serta menumpang orang ketika membeli keperluan bagi membuat rempeyek dan keluar bekerja di kedai makan, saya berusaha mencari sebuah kenderaan terpakai.

“Akhirnya saya menemui seseorang pemilik Perodua Kancil yang tersadai dan sudi menginfak kenderaan itu untuk kegunaan Jamilah. Namun, pemilik terbabit tidak mahu menonjolkan dirinya.

“Saya membawa kereta berkenaan pulang ke bengkel sebelum memperbaiki keadaannya sehingga pulih dan selamat untuk digunakan semula. Alhamdulillah, hasil sumbangan rakan bengkel dan komuniti termasuk bagi menggantikan peralatan rosak, kerja baik pulih, insurans dan urusan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) amat dihargai dalam merealisasikan impian warga emas ini,” katanya.



Makhdad berkata, harga RM1 hanya dikenakan kepada wanita berkenaan sebagai tanda kasih sayang dalam usaha membantu individu yang memerlukan.

Katanya, walaupun menghadapi pelbagai cabaran termasuk hampir tertangguh beberapa bulan, akhirnya kereta itu dapat diserahkan kepada Jamilah.

Sementara itu, Jamilah melahirkan rasa terharu dengan infak kereta yang diterima itu kerana memudahkan urusan hariannya.

Beliau berkata, dia tidak menduga memperoleh kereta berkenaan dengan hanya membayar RM1 sahaja yang tidak pernah terfikir olehnya sebelum ini.



“Hanya Allah yang mampu membalas jasa semua pihak dan setiap individu yang membantu memenuhi impian saya ini,” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button