Bekalan ikan dijangka pulih Jun ini
Kuala Lumpur: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menyediakan pelan pembekalan ikan sejuk beku QFish bagi menstabilkan harga di pasaran.
Agensi itu dalam kenyataan memaklumkan, stok bekalan ikan ada dalam simpanan sedia ada dan dikeluarkan untuk memberi pilihan kepada pengguna.
Kenyataan itu berkata, penurunan bekalan pada masa ini bersifat sementara dan selari dengan pola pendaratan tahun sebelum ini.
“Ini kerana aktiviti penangkapan ikan yang berkurang sepanjang minggu akhir Ramadan dan dua minggu pertama Syawal.
“Melalui analisa data yang diperoleh dan perbandingan trend bekalan ikan beberapa tahun kebelakangan ini menunjukkan sedikit penurunan dari segi penawaran bagi segmen pendaratan ikan laut sebanyak 15 peratus bagi minggu pertama sehingga ketiga Mei ini berbanding bulan sebelumnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, peningkatan harga ikan di peringkat borong dan runcit dipengaruhi penawaran bekalan ikan yang menurun pada tempoh berkenaan.
Namun katanya, keadaan itu dijangka kembali stabil apabila penawaran bekalan ikan mula meningkat.
“Menerusi data pendaratan ikan antara 2016 sehingga 2021, ia akan kembali meningkat pada Jun kebiasaannya hingga kemuncak sekitar September atau Oktober depan.
“LKIM akan memantau dengan lebih dekat situasi semasa bekalan ikan dan harga ikan dalam pasaran bagi memastikan langkah untuk menjamin bekalan kepada rakyat,” katanya.
METRO