Rakyat Senegal mahu Mane tinggalkan Anfield
LONDON: Bintang Liverpool, Sadio Mane mencipta sensasi dengan mendedahkan dia akan lakukan apa yang rakyat Senegal mahukan apabila diberitahu ’60 hingga 70 peratus’ percaya dia sepatutnya meninggalkan kelab berkenaan.
Bintang Senegal berusia 30 tahun itu mengejutkan wartawan pada sidang akhbar semalam ketika dia menyertai tugasan antarabangsa negaranya.
Mane dikaitkan dengan perpindahan ke Bayern Munich musim panas ini namun masih berteka-teki mengenai masa depannya.
Bagaimanapun dia menyatakan dengan jelas bahawa dia boleh meninggalkan Anfield tidak lama lagi.
Katanya: “Saya menghormati penyokong dan pasukan, tapi 60 hingga 70 peratus rakyat Senegal mahu saya meninggalkan Liverpool? Saya akan lakukan seperti mereka mahukan.”
Dan kenyataan itu pastinya mengejutkan kelab di Anfield Road itu.
Mane setakat ini enggan menandatangani perjanjian baharu bersama gergasi Liga Perdana itu dan dia hanya ada baki kontrak 12 bulan sahaja lagi.
Sebelum aksi final Liga Juara-Juara, bos Liverpool, Jurgen Klopp mengakui bahawa pemain Afrika itu mungkin akan bermain kali terakhir bersama kelab itu.
AGENSI