Latihan pusat khas ‘Road To Tokyo’ efektif- Majlis Paralimpik Malaysia
KUALA LUMPUR, 6 Mei — Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) menerima baik cadangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk menyatukan atlet program Road to Tokyo (RTT) dalam latihan pusat khas selepas sambutan Aidilfitri ini.
Dalam satu kenyataan hari ini, Setiausaha Agung MPM, Laksamana Pertama (B) Datuk R. Subramaniam berkata usaha itu antara cara paling efektif untuk melakukan pemantauan menyeluruh terhadap kesihatan dan keselamatan atlet, serta pendekatan terbaik bagi mencegah penularan COVID-19 dalam kalangan atlet.
Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican pada Isnin dilaporkan bercadang menghantar kertas kerja kepada Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung pelaksanaan latihan pusat sukan berprestasi tinggi RTT di beberapa gelanggang tertentu di seluruh negara.
Subramaniam berkata semasa perjumpaan secara maya dengan Reezal Merican baru-baru ini, pihaknya menyampaikan maklumat terkini persiapan yang sedang dilakukan serta cabaran yang dihadapi ekoran pandemik itu.
Katanya pelaksanaan latihan secara berpusat tersebut membolehkan MPM menjalankan latihan secara teratur mengikut garis panduan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
“Keprihatinan Menteri meyakinkan penggerak sukan para di negara ini bahawa kami akan sentiasa mendapat sokongan dan bantuan yang sewajarnya dari kerajaan bagi terus membangunkan dan mengembangkan sukan para ke seluruh pelosok negara,” katanya.
Sementara itu, jaguh lompat jauh para negara Abdul Latif Romly melihat usaha tersebut sebagai jalan terbaik memastikan fizikal atlet RTT kembali kepada bentuk terbaik selepas lebih 50 hari menjalani latihan tidak sempurna di rumah.
“Sebagai atlet kami memerlukan fasiliti lengkap untuk meneruskan latihan, di rumah sukar untuk kami menjalani latihan dan banyak gangguan sebagai contoh apabila hujan kami tidak boleh berlatih walaupun jurulatih telah menyediakan rutin program latihan untuk kami.
“Sebagai manusia biasa, takut (terhadap risiko COVID-19) itu memang ada, tetapi latihan juga penting. Sebagai atlet kami memerlukan latihan yang intensif dan saya sedia melaporkan diri di Majlis Sukan Negara sekiranya dibenarkan.
“Bayangkan sejak duduk di rumah berat badan saya turun sebanyak tiga kilogram dan semua otot-otot mula kendur. Memang situasi ini amat membimbangkan saya, malah dari segi kecergasan pun sudah menurun,” kata pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio 2016 itu dalam kenyataan sama.
— BERNAMA