Budak positif dadah kritikal, terpaksa ditidurkan
KOTA BHARU: Kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang kritikal kerana kandungan dadah dalam badan, terpaksa ditidurkan berikutan keadaannya yang sangat lemah.
Ibunya yang berusia 36 tahun berkata, setakat ini keadaan anak bongsu dari tiga beradik itu tiada tanda positif dan masih dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini.
Katanya, dia sempat meluangkan masa setengah jam malam tadi sambil menggosok tubuh anaknya.
“Doktor memaklumkan anak saya perlu ditidurkan kerana keadaannya yang sangat lemah kesan daripada dadah itu.
“Pilu hati saya melihat keadaannya sebegitu dan walaupun dia tidak sedarkan diri, saya tetap berbisik di telinganya agar bukakan mata dan segera sembuh.
“Saya hanya inginkan anak sedar sahaja, tidak mengapa kalau dia tidak boleh berjalan atau ada kesan lain, itu sahaja yang saya harapkan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Wanita itu berkata, anaknya juga pemegang kad orang kurang upaya (OKU) kerana mengalami masalah pertuturan (lambat) dan baru boleh berjalan.
Media sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun kritikal selepas dikesan terdapat dadah jenis methampethamine dalam badannya.
Susulan itu, seorang buruh yang juga bapa saudara mangsa berusia 30 tahun ditahan malam kelmarin untuk membantu siasatan.
Suspek yang memiliki tiga rekod lampau bersabit dadah ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam sehingga 26 Jun ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.
BHOnline