Kontrak Salah perlu diselesaikan segera

LONDON: Jamie O’Hara menempelak cara Liverpool menguruskan bintang kelab itu, Mohamed Salah sebagai ‘tidak boleh diterima’ dan mahukan mereka menyelesaikan masalah kontraknya.

Selepas penjualan Sadio Mane ke Bayern Munich awal bulan ini, skuad Reds sudah memecahkan satu daripada unit penyerang terbaik dalam Liga Perdana manakala masa depan Salah juga masih tidak menentu.

Pemain Mesir berusia 30 tahun itu akan memasuki tahun terakhir dalam kontraknya di Liverpool manakala perjanjian baharu masih belum dicapai.



Ketika kelab itu dan wakil Salah buntu mengenai permintaan gajinya, ada khabar angin mengatakan Liverpool akan menjual aset utama mereka itu musim panas ini bagi memastikan mereka akan mendapat sedikit wang dan tidak kehilangannya secara percuma tahun depan.

Laporan berkenaan menyatakan, tawaran sekitar £60 juta (RM320.19 juta) boleh memujuk Reds berpisah dengan Salah.

O’Hara bagaimanapun menggesa Reds segera mencapai perssetujuan dengan Salah selepas mendapat yuran agak lumayan ketika melepaskan Mane.

“Dia (Salah) akan ke tahun akhir kontraknya, masih belum tandatangan perjanjian baharu, anda sudah lihat (Sadio) Mane meninggalkan kelab,” kata O’Hara kepada TalkSport.



“Kini mereka mendapat wang hasil jualan Mane – perniagaan yang agak bagus. Dia sudah lama berada di kelab, mahu keluar pada penghujung musim walau apa sahaja alasannya, tapi saya rasa ia berkaitan wang.

“Kini Salah boleh keluar secara percuma – itu tidak boleh diterima. Liverpool sudah meletakkan tanda aras bagaimana menjalankan perniagaan sebagai kelab bola sepak dan mereka melakukannya dengan bagus.

“Tapi mereka perlu menyelesaikan perkara ini kerana Mo Salah tidak boleh meninggalkan kelab secara percuma.”

AGENSI



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button