Terus beratur walaupun sakit lutut demi minyak masak paket
Sik: “Saya beratur di sini sejak jam 8 pagi tadi. Walaupun sakit lutut, saya sanggup demi mendapatkan barangan dapur pada harga murah terutama minyak masak yang dijual RM2 sepaket,” kata Siti Kota Ahmad.
Siti Kota, 68, berkata, dia sudah dua hari berturut-turut datang ke gerai barang runcit Program Barang Asas 100 (BA100) Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa) sempena Sambutan Hari Koperasi Negara 2022 Peringkat Negeri Kedah di perkarangan dewan Al-Hana di sini, untuk mendapatkan barang keperluan dengan harga murah.
Katanya, dia bersyukur dengan inisiatif diambil Angkasa untuk membantu golongan kurang kemampuan sepertinya yang hanya bergantung dengan hasil menoreh getah.
“Suami, Hassan Bakar yang berusia 73 tahun masih lagi menoreh getah walaupun sudah lanjut usia. Pendapatan pada musim hujan ketika ini sangat berkurangan, tidak sampai RM500 sebulan.
“Kerana itu saya sanggup beratur dan tunggu lama untuk beli barang dapur. Hari ini, gula, tepung dijual pada harga RM1.50 sekilogram, beras pula RM20 bagi 10 kilogram dan RM10 bagi lima kilogram,” katanya ditemui semalam.
Hadir merasmikan majlis ialah Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Seri Noh Omar.
Bagi suri rumah, Fatin Nor Ashikin Mohd Noor, 33, berkata, dia sanggup menunggu lama untuk mendapatkan dua paket minyak masak selepas sukar mendapatkannya di kawasan tempat tinggalnya di Kampung Selamat B, Teloi di sini.
Katanya, walaupun dihadkan hanya dua paket bagi setiap pembeli, penantiannya berdiri selama empat jam baginya sangat berbaloi.
“Saya sudah pergi banyak kedai runcit tetapi bekalan minyak masak tidak ada. Kerana itu, sudah dua hari saya sanggup beratur awal di sini,” katanya.
Sementara itu, Rasita Hassan, 44, berkata, jualan murah anjuran Angkasa memberi manfaat untuk golongan B40 sepertinya.
“Saya rasa lenguh dan dahaga kerana terpaksa berdiri lama tetapi memikirkan harganya yang jauh lebih murah, saya gagahi juga untuk datang hari ini.
“Minyak masak yang paling utama kerana sukar untuk mendapatkan minyak masak paket sekarang. Selain itu, dengan peningkatan harga barangan, saya boleh jimat puluhan ringgit dengan adanya jualan seperti ini,” katanya yang tinggal di Beris Jaya di sini.
METRO