Bekalan minyak masak tidak pernah terputus di Golok

Kota Bharu: Bekalan minyak masak subsidi Malaysia dikatakan tidak pernah terputus di Golok, Thailand selain senang didapati terutama di pasar negara berkenaan.

Minyak berkenaan dijual dengan harga sekitar RM6.80 hingga RM7 sepaket, mahal sedikit berbanding sebelum ini RM5.80 hingga RM6.

Malah, penduduk mendakwa boleh dikatakan hampir setiap rumah di Pekan Golok itu mempunyai bekalan minyak subsidi Malaysia memandangkan harga jauh lebih murah berbanding minyak masak keluaran negara itu.



Penduduk di Golok, Thailand yang mahu dikenali sebagai Imah, 44, turut mengakui menggunakan minyak masak dari Malaysia itu untuk kegunaan seharian.

“Memang sejak dahulu lagi minyak masak ini yang menjadi pilihan kami sekeluarga memandangkan harga yang jauh lebih murah berbanding minyak masak Thailand.

“Bayangkan jika minyak masak Malaysia hanya RM7, berbanding minyak masak Thailand RM9.50 bagi sekilogram. Jadi, sudah tentu kami akan memilih minyak yang lebih murah.

“Sebagai penduduk di sini kami tidak tahu sama ada ia menjadi kesalahan apabila minyak ini dibawa masuk ke Thailand kerana ia bukan perkara baharu sebaliknya sudah sekian lama,” katanya ketika dihubungi.



Beliau berkata, mereka hanya menganggap jika penduduk di Thailand menggunakan minyak masak Malaysia, orang Malaysia pula menggunakan beras Thailand.

“Dari segi bekalan memang tidak menjadi masalah di sini kerana ia boleh didapati di pasar pagi dan setahu saya bekalan tidak pernah terputus,” katanya.

Penduduk, Aziz Mohd pula memaklumkan minyak subsidi Malaysia itu dijual secara terbuka tanpa larangan di kedai runcit dan pasar pagi di negara berkenaan.

“Tiada halangan nak beli berapa paket, jika ada duit banyak nak beli 50 paket pun tiada masalah dan sememangnya minyak ini menjadi pilihan penduduk serta peniaga di sini kerana harga jauh lebih murah.



“Saya sendiri tidak tahu bagaimana minyak subsidi di Malaysia itu dibawa masuk ke Thailand, namun yang pasti minyak ini senang diperoleh dan sentiasa ada di sini,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button