Laksana penjara mandatori penyeludup barang subsidi

Guna dokumen palsu dapatkan tender, usahawan didenda RM24,000

Sudah jatuh ditimpa tangga. Itulah pepatah yang sesuai diluahkan bagi menggambarkan keperitan hidup berterusan dialami rakyat Malaysia hari ini selepas dihimpit pelbagai masalah ketika negara dilanda pandemik COVID-19 dan kini berada dalam fasa peralihan ke endemik.

Kini, Malaysia dihimpit kadar inflasi tinggi, terutama membabitkan barang keperluan harian. Bagi mengatasi perkara ini, kerajaan mempergiatkan pemberian kadar subsidi bagi barangan keperluan harian.

Unjuran subsidi kepenggunaan ini meliputi petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) (RM37.3 bilion), minyak masak (RM4 bilion) tepung dan elektrik bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat, serta bila subsidi (RM9.7 bilion), tidak termasuk bantuan kebajikan lain.



Namun begitu, kita dikejutkan dengan berita penyeludupan minyak masak paket bersubsidi ke negara jiran sehingga menyebabkan bekalannya sukar diperoleh sedangkan minyak masak diberi subsidi kerajaan ini berjumlah 60,000 tan sebulan, melebihi keperluan sebenar pengguna, iaitu sebanyak 55,000 tan sebulan.

Subsidi ditanggung kerajaan untuk minyak masak berpaket ini juga menyamai RM6.50 sepaket membolehkan ia dijual dengan harga RM2.50 sekilogram ketika ini, berbanding harga pasaran sebenarnya iaitu RM9 sekilogram.

Isu penyeludupan barangan bersubsidi ini perlu dipandang serius setiap lapisan masyarakat dan pelbagai pihak. Ia larangan jelas dalam agama seperti firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 188 bermaksud: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan salah”.

Dalam konteks ilmu muamalat Islam, isu penyeludupan ini disebut dengan nama ‘at-Tahrib’ bermaksud melarikan barang daripada pasaran asal bagi tujuan meraih keuntungan dengan cara tidak beretika.



Pengharaman ‘at-Tahrib’ ini disebabkan ia boleh menimbulkan ketidakstabilan pasaran dan menyebabkan ekosistem pasaran menjadi tidak menentu. Ia juga memberi kesan berantai terhadap pengguna, peniaga, pasaran serta keselamatan ekonomi dan negara.

Oleh itu, sudah tiba masa kerajaan perlu mengambil tindakan keras terhadap penyeludup barang bersubsidi ini dengan mengenakan tindakan lebih keras termasuk menambah baik Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dengan memperkenalkan hukuman penjara mandatori sebagai usaha memerangi kegiatan penyeludupan barangan bersubsidi.

Tindakan penguatkuasaan juga perlu dijalankan setiap masa dan bukan secara bermusim kerana pihak penyeludup sentiasa menghidu peluang dan mengemas kini modus operandi licik mereka.

Kerajaan juga perlu mengerahkan dan menyelaras semua agensi penguatkuasaan bagi memaksimumkan langkah pencegahan dan penguatkuasaan.



Saluran aduan dan makluamt juga perlu diperluaskan dengan mengaktifkan talian 24 jam bagi memudahkan penyampaian maklumat berserta maklum balas aduan yang diambil tindakan.

Kerajaan juga boleh mempertimbangkan pemberian ganjaran bersesuaian bagi penyalur maklumat bagi membantu membanteras aktiviti jenayah ini.

Ganjaran ini dilihat tidak membebankan kerajaan berbanding nilai ketirisan berlaku akibat penyeludupan. Lebih utama, masyarakat juga perlu lebih peka terhadap permasalahan ini dan perlu menjadi ‘mata serta telinga’ pihak berkuasa bagi membanteras jenayah penyeludupan merugikan negara.

Rakyat yang prihatin patut membuat pemantauan dan melaporkan kepada pihak berkuasa khasnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, polis dan tentera yang mengawal sempadan negara.



Pensyarah Kanan Jabatan Undang-Undang Islam, Kulliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button