Tiga kelemahan PH gagal jadi pembangkang berkesan

Kebiasaan dalam ruang demokrasi, kita sering memberikan tumpuan kepada soal kebebasan, keterbukaan pemerintah dan aktifnya pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Namun, jarang sekali kita meletakkan tumpuan kepada peranan pembangkang efektif sebagai penanda aras positifnya ruang demokrasi diberikan.

Efektifnya pembangkang bukan hanya dengan ‘membangkang’, bahkan mereka mampu menjadi ejen semak dan imbang dengan usul serta memperjuangkan isu berkait dengan kepentingan rakyat.



Di negara ini, politik membangkang bukan sesuatu baharu. Malah, pembangkang sebenarnya mempunyai ruang agak baik untuk melontarkan usul dan isu berkaitan dengan prestasi kerajaan, masa depan demokrasi negara atau perkara membabitkan kepentingan rakyat.

Kewujudan pembangkang di negara ini secara asasinya lebih efektif dengan membentuk pakatan politik besar. Ini dibuktikan dengan kemunculan Barisan Sosialis bermula 1958 hingga bubar pada 1969; Harakah Keadilan Rakyat (1986); Angkatan Perpaduan Ummah (1989); Gagasan Rakyat (1989); Barisan Alternatif (1998); Pakatan Rakyat (PR) (2008) dan terkini Pakatan Harapan (PH) (2015).

Sosok parti seperti PAS, DAP dan PKR adalah antara parti pembangkang dominan di negara ini yang bergerak dalam model pakatan politik. Lebih menambahkan resipi, kemunculan Tun Dr Mahathir Mohamad kembali semula dalam lapangan politik Malaysia pada 2015 merancakkan lagi ruang kepembangkangan pada waktu itu dengan tertubuhnya BERSATU yang kemudiaannya menyertai pakatan pembangkang.

Namun, pakatan politik pembangkang yang boleh dianggap mencipta siri kejayaan boleh dibanggakan adalah PH. Ini kerana PH berjaya mencipta sejarah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dengan menjatuhkan Barisan Nasional (BN) apabila menawan 121 kerusi.



Dalam 121 kerusi, DAP adalah parti paling banyak memenangi kerusi dalam Dewan Rakyat. Figura penyelamat diketengahkan, iaitu Dr Mahathir berjaya mempengaruhi perubahan berlaku di samping imej kleptokrasi begitu kuat terpalit pada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hingga menjatuhkan BN.

Sungguhpun begitu, dalam tempoh 22 bulan pemerintahan PH, banyak konflik berlaku memberikan kesan kepada imejnya sebagai penyelamat.

Kegagalan PH untuk membina satu set komunikasi baik selepas menjadi kerajaan, tekanan politik dari dalam dan kelembapan membangunkan pelan pembangunan negara (dasar berkaitan pemulihan) menyebabkan imej negatif mula dilontarkan kepada PH.

Lebih mendukacitakan, PH dilihat gagal menguruskan naratif Melayu-Islam disebabkan tekanan dalaman datang daripada parti pemerintah sendiri. Juga PH dilihat masih kekal memainkan sentimen sama walaupun selepas menjadi kerajaan.



Tidak hairan juga label menyifatkan PH mula terkena ‘badi kuasa’ melalui tindakan politik dilakukan sewaktu menjadi kerajaan mula dibangkitkan.

Hasilnya, 22 bulan sahaja PH memerintah dan kemudian digantikan Perikatan Nasional (PN) melalui gerakan dipanggil Langkah Sheraton.

Ekoran itu, PH kembali menjadi pembangkang, namun BERSATU yang keluar dari pakatan berkenaan menyertai PN dan Dr Mahathir menubuhkan Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) atas alasan tidak mahu lagi mempunyai keterikatan dengan PH.

Prestasi PH pasca-Langkah Sheraton juga semakin merudum apatah lagi ketika pandemik melanda negara. Ditambah pula dengan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengisytiharkan darurat akibat gelombang COVID-19 tidak terkawal menyebabkan ruang untuk pembangkang semakin sempit.



Demikian, tekanan itu mula mengendur selepas naratif kerajaan gagal berjaya menjatuhkan Muhyiddin, kemudiannya bertukar kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri ke-8 Malaysia.

Ini mengesahkan lagi bahawa pasca-Langkah Sheraton, pembangkang tiada strategi mempengaruhi pengundi dalam pilihan raya kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka serta Johor untuk memberikan undi kepada PH.

Beberapa situasi boleh dilihat sebagai penyumbang kepada lemahnya PH sebagai pembangkang kini. Pertama, ketidaksepaduan ideologi dalaman PH. Perkara ini sudah lama dijadikan topik utama khususnya bagi pemerhati politik.

Perbezaan ideologi tidak menjadi masalah, tetapi PH dilihat gagal membina satu struktur pegangan agak kesepaduan ideologi dalam pakatan itu mampu dibentuk. Ketidaksepaduan ideologi ini sebenarnya membawa kepada lemahnya PH sebagai pembangkang kini.



Malah, tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang walaupun menjadi ketua pembangkang, dilihat hanya bertindak untuk kepentingan PKR diketuainya berbanding parti komponen lain menjelaskan lagi ketidaksepaduan ini.

Kedua, PH gagal mengetengahkan satu figura politik besar dalam memikat hati pengundi rasional di negara ini. Ia perkara mustahak harus difikirkan strategi oleh parti komponen PH.

Justeru, kita tidak mampu menafikan pasca-Langkah Sheraton, dengan ketidakmampuan PH mengetengahkan muka baharu menyebabkan mereka gagal membentuk satu sisi pandang segar hingga masih terperangkap dalam ruang sentimen dan anekdot lama.

Tidak hairan ada suara dalaman PH dan PKR cuba mempersoalkan kerelevanan Anwar dalam memimpin PH.



Ketiga, kegagalan PH menawarkan strategi baharu. Situasi ini dilihat paling genting dalam PH. Ini kerana melihat kepada prestasi PH dalam PRN Melaka dan Johor, ia memperlihatkan pakatan itu tidak memiliki satu strategi baharu untuk menawan hati pengundi.

Ditambah dengan ruang waktu pandemik menimbulkan ketakutan kepada pengundi untuk keluar, dan jika ada sekalipun undi mereka cenderung kepada parti pembangkang lain seperti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan Parti Warisan (WARISAN).

Hakikatnya, tiada sebarang kempen strategi efektif untuk menunjukkan PH sebagai parti pembangkang ‘hands-on’ atau cepat memberikan reaksi dalam isu berkaitan kepentingan rakyat.

Justeru, PH perlu melakukan satu reformasi dalaman termasuk dengan mengetengahkan figura baharu bertenaga, muda dan berkaliber tinggi dalam usaha menawan kembali hati pengundi dalam PRU-15 nanti.

Ini kerana dengan lemahnya PH kini ia adalah satu kerugian besar kerana kita memerlukan satu ejen semak dan imbang efektif terutama untuk kepentingan rakyat yang sekarang berdepan dengan tekanan ekonomi yang mencabar demi kelangsungan negara dan masyarakat.

Pensyarah Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Raub

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button