Minyak masak, diesel bersubsidi bernilai lebih RM1 juta dirampas

Kota Kinabalu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah berjaya mematahkan satu kegiatan penyelewengan barang kawalan dalam serbuan di Sungai Kolapis, Beluran, semalam.

Operasi 3.30 petang yang dibantu Batallion 20 Pasukan Gerakan Am (PGA) Beluran itu berjaya merampas minyak masak dan minyak diesel bersubsidi yang dianggarkan bernilai RM1,904,975.

Pengarah KPDNHEP Sabah, Georgie Abas berkata, hasil serbuan, pasukan operasi menemui sebanyak 9,690 kilogram minyak masak peket 1 kilogram di atas kapal yang ditahan.



Selain itu katanya, pihaknya turut menemui 5,000 liter minyak diesel yang disimpan di dalam tangki skid di kawasan berhampiran.

“Serbuan kali ini adalah hasil risikan selama tiga minggu yang dijalankan KPDNHEP Sabah bagi mengenal pasti kegiatan berkenaan.

“Semua barang kawalan itu dipercayai cuba dijual ke negara jiran dan seorang lelaki tempatan turut ditahan untuk membantu siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Georgie berkata, penjaga kapal terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran dan lesen yang sah untuk menyimpan barang kawalan di lokasi berkenaan.



Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan tujuan melakukan kesalahan dan dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana menjalankan urus niaga barang kawalan tanpa lesen.

“Siasatan juga akan dilakukan mengikut Seksyen 20(1) akta sama kerana menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak mendapat kebenaran pengawal,” katanya.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button