2 maut, 4 cedera kereta terbabas
Lahad Datu: Dua maut manakala empat cedera selepas Perodua Myvi dinaiki terbabas dan terhumban ke dalam longkang pada kejadian di Jalan Tungku Makuau di sini, jam 6 pagi tadi.
Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh kakitangan perubatan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 6.15 pagi sebelum sembilan anggota bersama jentera dikerah ke lokasi.
“Tiba di lokasi, kami dapati Perodua Myvi itu berada dalam keadaan terbalik di dalam longkang di tepi jalan berkenaan.
“Empat mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Lahad Datu oleh orang awam sebelum ketibaan kami,” katanya pada kenyataan.
Menurutnya, dua lagi mangsa yang meninggal dunia diserah kepada polis untuk tindakan lanjut.
METRO