Sektor perladangan sawit rugi RM10.46 bilion
KUALA LUMPUR: Sektor perladangan kelapa sawit dianggarkan mengalami kerugian sebanyak 7.52 juta tan membabitkan nilai RM10.46 bilion bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini berikutan kekurangan tenaga kerja asing.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin, berkata sehingga kini, perladangan kelapa sawit mengalami kekurangan seramai 28,940 pekerja sebagai penuai dan pemungut buah tandan segar (BTS) di ladang.
Mengulas lanjut, katanya, dianggarkan sebanyak 57,880 tan BTS sehari tidak dapat dituai dengan mengambil kira purata produktiviti seorang pekerja sebanyak dua tan.
“Bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini, purata kekurangan pekerja di sektor perladangan kelapa sawit dianggarkan sebanyak 54,190 orang dimana 53.4 peratus daripadanya adalah bagi kategori kerja penuaian dan pemungutan BTS.
“Anggaran kerugian buah kelapa sawit yang tidak dapat dipetik kerana tiada tenaga buruh dalam tempoh lima bulan bernilai
RM10.46 bilion dengan mengambilkira purata harga BTS iaitu RM1,390 satu tan metrik bagi Januari hingga Mei,” katanya melalui pemberitahuan pertanyaan lisan Dewan Rakyat, di sini.
Zuraida menjawab soalan Dr Azman bin Ismail (PH-Kuala Kedah) yang meminta kerajaan menyatakan masalah tenaga buruh di industri sawit, jumlah kekurangan buruh dan berapa nilai buah sawit yang rosak akibat tidak dapat dipetik.
Pada masa sama, Zuraida berkata, sebanyak 75 peratus daripada keseluruhan guna tenaga di sektor perladangan sawit adalah terdiri daripada pekerja asing.
Beliau berkata, kerajaan menyedari bahawa pergantungan yang berterusan terhadap pekerja asing sememangnya boleh menjejaskan sektor perladangan sawit untuk jangka masa panjang.
“Sehubungan itu, pihak kerajaan menggalakkan pihak ladang meningkatkan tahap penggunaan jentera di mana dengan peningkatan kaedah itu, penggunaan guna tenaga dapat dikurangkan.
“Penggunaan jentera juga dapat meringankan beban kerja serta dapat membantu meningkatkan produktiviti
pekerja. Peningkatan produktiviti akan meningkatkan pendapatan pekerja dan ini diharapkan akan dapat menarik lebih ramai golongan belia untuk menyertai sektor ini,” katanya.
BHOnline