Bakayoko cemas polis Itali acu pistol
Rom: Pemain tengah AC Milan, Tiemoue Bakayoko berkata nyawanya dan seorang lagi penumpang terancam selepas polis Itali menariknya keluar dari kereta dan mengacukan senjata selepas tersilap menyangkakan dia suspek kes tembakan.
Video pada 3 Julai lalu tular menunjukkan pemain tengah Perancis itu mengangkat tangan ke atas sebelum ditolak ke arah kereta peronda untuk membolehkan seorang anggota polis memeriksa badannya.
Video itu menunjukkan seorang lagi anggota polis lain mengacukan pistol ke arah penumpang yang tidak kelihatan di dalam kereta ketika Bakayoko diperiksa.
Susulan tersebarnya video itu, polis Milan berkata Bakayoko dan penumpangnya telah ditahan kerana mereka menyerupai gambaran dua orang yang mencurigakan dalam kes tembakan dan menafikan tindakan berkenaan bersifat perkauman.
“Manusia melakukan kesilapan, saya tidak mempunyai masalah dengannya, sebaliknya saya mempunyai masalah dengan cara dan metodologi yang digunakan,” kata pemain itu dalam video yang disiarkan di akaun Instagramnya.
“Akibatnya mungkin lebih serius jika saya tidak berdiam diri,” katanya.
METRO