Suami tidak wajib mencarum untuk isteri

Kuala Lumpur: Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), adalah secara sukarela kepada semua suri rumah di Malaysia dan suami tidak wajib mencarum untuk isteri mereka.

Ketua Pegawai Komunikasi dan Hal Ehwal Korporat Perkeso, Izad Raya berkata, menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 yang sudah dibentangkan untuk bacaan kali pertama oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan di Dewan Rakyat semalam, ia menyatakan bahawa suami hanya wajib membayar caruman untuk isterinya jika dia memilih untuk berbuat demikian dan perlu memaklumkan kepada Perkeso.

Dalam situasi itu katanya, ia boleh menjadi suatu kesalahan kepada suami jika gagal membayar caruman berkenaan, dan sabit kesalahan suami boleh didenda maksimum RM10,000 atau dipenjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.



“Bagaimanapun, jika pasangan berkenaan bercerai atau suami terbabit tidak mampu membayar caruman isterinya akibat hilang punca pendapatan atau seumpamanya, maka komitmennya untuk membayar caruman adalah terbatal.

“Dalam hal ini, isterinya atau suri rumah boleh membayar caruman SKSSR secara sukarela atau bayaran caruman tersebut juga boleh dibuat oleh mana-mana pihak ketiga,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, bagi situasi di mana suami tidak memilih untuk membayar caruman SKSSR untuk isteri atau suri rumah yang tidak mempunyai suami, caruman berkenaan boleh dibayar sendiri oleh isteri atau suri rumah tersebut atau pihak ketiga kepada Perkeso.

Justeru katanya, laporan berita yang diterbitkan oleh beberapa media tempatan termasuk menerusi platform dalam talian mengenai kegagalan suami membayar caruman Perkeso isteri yang juga suri rumah boleh dikenakan denda atau hukuman penjara adalah tidak tepat.



METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button