PERUTUSAN KHAS MENTERI BESAR PAHANG SEMPENA ULANG TAHUN KE – 74 TAHUN UMNO

PERUTUSAN YAB DATO SRI HAJI WAN ROSDY BIN WAN ISMAIL PENGERUSI BADAN PERHUBUNGAN UMNO NEGERI PAHANG SEMPENA SAMBUTAN HARI ULANG TAHUN UMNO KE 74



Bismillahirrahmaniirahim
Assalamualaikum WKT

UMNO akan menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-74 pada 11 Mei ini. Ulang tahun yang mengingatkan kita tentang sejarah panjang perjuangan parti keramat orang Melayu yang sentiasa mengabdikan kepentingan agama, bangsa dan tanah air melebihi segala-galanya.

Sejak penubuhannya, UMNO telah mengemudi bangsanya untuk bangkit menentang penjajah sehinggalah Tanah Melayu berjaya mencapai kemerdekaan. Kemudiaannya, UMNO terus mengorak langkah mencipta perubahan dan kemodenan untuk tanah air tercinta ini. Kita telah belayar bersama lebih 7 dekad di atas bahtera UMNO dengan pelbagai pencapaian yang membanggakan. Dan kita berjaya mengangkat martabat bangsa sehingga dihormati di serata dunia.

Namun, 2 tahun lalu, kita tersentak dengan mimpi ngeri apabila UMNO ditolak oleh rakyat sehingga kita kehilangan mandat di peringkat Kerajaan Persekutuan. Sesuatu yang tidak pernah terlintas di fikiran kita.

Saat itu, ramai yang hilang arah, sehingga ada yang memilih untuk keluar meninggalkan parti keramat ini. Ternyata, bukan semua daripada kita berjiwa kental untuk menghadapi ujian yang diturunkan oleh Allah SWT. Yang tinggal dan setia adalah mereka yang benar-benar memahami susur galur perjuangan UMNO.

Alhamdulillah, berkat kesabaran dan kesetiaan kita kepada wadah perjuangan ini, akhirnya kita kembali bangkit memenangi hati rakyat melalui kemenangan bergaya di Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands tahun lalu. Ia merupakan kemenangan pertama selepas PRU-14 yang dicetus hasil kerjasama erat antara UMNO dan PAS melalui agenda Perpaduan Ummah. Agenda Perpaduan Ummah ini kemudiannya diterjemah menjadi Muafakat Nasional yang terbukti mendapat tempat di hati rakyat.

Justeru, bersempena ulang tahun ini, saya mengajak seluruh kepimpinan dan ahli UMNO untuk bekerja keras bagi mendekati dan menambat hati pengundi. Kita harus istiqamah dan tidak mengulangi kesilapan lalu. Kita perlu bentuk muafakat dan iltizam baru. Dan yang lebih utama, kita harus bina kekuatan kita sendiri.

Sesungguhnya, pandemik COVID-19 yang menimpa negara ketika ini
menjadi bukti penting kepada rakyat, betapa UMNO lah parti paling konsisten dan bersungguh-sungguh membantu rakyat yang ditimpa kesusahan. Gerak kerja yang kita lakukan untuk rakyat ketika pandemik ini membuktikan UMNO sentiasa ada di saat rakyat memerlukan. Itulah yang seharusnya kita lakukan untuk rakyat. Kerana UMNO itu wujud untuk RAKYAT.

Selamat Ulang Tahun UMNO Ke-74.

YAB. DATO’ SRI HAJI WAN ROSDY BIN WAN ISMAIL
PENGERUSI BADAN PERHUBUNGAN UMNO NEGERI PAHANG

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button