KERAJAAN SEKARANG TIDAK SAH, ANWAR DAN MAHATHIR CABAR KUASA YANG DIPERTUAN AGONG?

Kerajaan Sekarang Tidak Sah, Anwar Dan Mahathir Seru Rakyat Lawan Siapa

Memetik kenyataan bersama Anwar Ibrahim dan Mahathir yang dikeluarkan sempena memperingati kemenangan Pakatan Harapan pada Mei 2018, kedua-dua pemimpin ini secara tidak langsung cuba mencabar intergriti Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong.

Berikut antara kandungan kenyataan bersama Anwar dan Mahathir

  • sudah tiba masanya mandat diberikan kembali kepada pihak yang sepatutnya
  • memahami situasi ini kami tidak mengiktiraf kerajaan hari ini
  • prinsip kami jelas dari hari pertama kerajaan ini tertubuh iaitu ia berdiri tanpa mandat rakyat
  • masanya telah tiba untuk kita bangkit semula dan berusaha mengembalikan mandat rakyat ke pihak yang sepatutnya

Menggunakan alasan kerajaan hari ini tidak mendapat mandat rakyat tidak seperti Pakatan Harapan, sejarah kejatuhan PH bermula dari krisis dalaman mereka sendiri. Menggunakan klausa janji, Anwar Ibrahim berulang kali mengingatkan Mahathir agar menunaikan peralihan kuasa dalam tempoh 2 tahun pemerintan namun demikian Mahathir bertindak melengahkan peralihan sehingga Sidang Apec Kuala Lumpur yang dijangka akan mengambil tempat di Kuala Lumpur pada November 2020. Ketika itu Parti Keadilan Rakyat (PKR) sedang bergolak dengan perpecahan membabitkan Azmin Ali dan Anwar Ibrahim. Dalam masa sama Parti Pribumi Bersatu Malaysia turut dilanda badai akibat tekanan daripada PKR. Menyedari krisis perebutan kuasa tidak dapat diselesaikan dengan baik, sebahagian PPBM termasuk Presiden mengambil keputusan keluar daripada Pakatan Harapan manakala Azmin bersama gerombolannya juga turut meninggalkan PKR setelah pertembungan dalaman PKR memuncak. Krisis kemudian diburukkan lagi apabila Perdana Menteri ketika itu Tun Mahathir membuat tindakan drastik meletakkan jawatan sekaligus meruntuhkan pemerintahan PH selama 22 bulan. Beliau kemudiannya dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong sebagai Perdana Menteri Interim (sementara) bagi membolehkan YDPA menerima semua ahli parlimen mengadap Baginda untuk menyatakan pendirian mereka bagi membentuk kerajaan baru.

Krisis bermula sekali lagi apabila Pakatan Harapan mendakwa mereka mempunyai sokongan yang mencukupi bagi menamakan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri manakala Tun M turut bertindak mengakui beliau juga beroleh sokongan yang cukup untuk mencipta hatrik sebagai Perdana Menteri buat kali ketiga. Bagaimanapun dengan pertimbangan bijaksana Tuanku dan kuasa yang diperuntukkan kepada Baginda bagi melantik Perdana Menteri dan kerajaan baru mentadbir Malaysia terserlah. Baginda mengambil kira pandangan serta sokongan semua ahli parlimen sebelum memberi perkenan melantik seorang Perdana Menteri yang Baginda yakini beroleh sokongan terbanyak daripada ahli parlimen.

Bidang Kuasa Agong Tentukan Kedudukan PM, Kabinet

Tidak timbul sebarang kemusykilan dalam tatacara pelantikan PM Ke-8 mengikut Perlembagaan Negara jadi dari manakah kewajaran dakwaan Anwar dan Mahathir bahawa kerajaan sekarang tidak sah? Dari sudut Perlembagaan Negara jelas memperuntukkan kuasa YDPA melantik seorang Perdana Menteri. Menurut Presiden Majlis Peguam Negara, Datuk Abdul Farid Abdul Gafoor biarpun pemilihan seseorang individu untuk menggalas jawatan Perdana Menteri tertakluk kepada sokongan ahli ahli Dewan Rakyat sendiri, ia masih memerlukan budi bicara Yang DiPertuan Agong. Jadi dimanakah keperluan bagi Anwar dan Mahathir menyatakan kerajaan sekarang tidak sah?

Perkara 40(2) menyebut bahawa Yang DiPertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melaksanakan fungsi yang berikut

  • melantik seorang Perdana Menteri
  • tidak memperkenankan bagi pembubaran parlimen

Perkara 42(2)(b) menyebut Yang DiPertuan Agong hendaklah melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri.

Jelas tindakan YDPA bertepatan dengan peruntukan perlembagaan apbila Baginda melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdan Menteri Ke-8 selepas Perdana Menteri Ke-7 meletakkan jawatannya.

Tidakkah kenyataan bersama Anwar, Mahathir bersifat membantah Titah Perintah Yang DiPertuan Agong dan cuba menimbulkan persepsi buruk Perkenan Tuanku melantik seorang Perdana Menteri seterusnya menubuhkan kerajaan baru? Mengeluarkan kenyataan licik seperti dilakukan Anwar, Mahathir merupakan satu cara protes malah mereka secara tidak langsung turut cuba mempengaruhi rakyat menentang Kuasa YDPA yang termaktub dalam Perlembagaan. Apa niat sebenar kenyataan tersebut jika tidak menjurus kearah hasutan kepada rakyat?

Menjelang 18 Mei 2020, sidang Dewan Rakyat akan dilangsungkan selama sehari memandangkan pandemik covid19 masih belum pulih sepenuhnya. Bagaimanapun pihak Pakatan Harapan sudah menghantar 2 usul di mana salah satu ditolak Speaker manakala usul undi tidak percaya Ahli Parlimen Langkawi terhadap Perdana Menteri diterima Speaker. Memandangkan hanya sehari sahaja diperuntukan untuk sidang, usul Mahathir agak sukar dibahaskan dan mungkin hanya di bawa ke sidang seterusnya yang dijadualkan pada Julai 2020. Semakin jelas Pakatan Harapan sangat terdesak untuk kembali berkuasa hingga sanggup menzahirkan ‘Sembah Derhaka’ terhadap Yang DiPertuan Agong apabila tidak mengiktiraf kerajaan. Inikah kerajaan yang rakyat perlukan setelah 22 bulan memerintah?

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker