Rakyat Malaysia menaruh harapan
Kuala Lumpur: Masyarakat Malaysia menaruh harapan tinggi untuk melihat kejayaan melahirkan generasi masa depan negara yang lebih sihat menerusi cadangan yang bakal dibentangkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Parlimen berkenaan akta baharu bagi melarang aktiviti merokok dan pemilikan sebarang produk merokok termasuk rokok elektronik (vape) terhadap generasi muda yang lahir selepas 2005.
Polisi itu juga dikenali sebagai Generational End Game (Generasi Penamat atau GEG) yang mana KKM akan membentangkan Rang Undang-Undang Kawalan Tembakau dan Merokok itu di Parlimen dalam masa terdekat.
Pakar Perubatan Kesihatan Masyarakat, Ekonomi Kesihatan dan Pengurusan Kesihatan, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata beliau sudah pasti menyokong RUU berkenaan dan GEG dicadangkan oleh KKM itu.
“Saya menyokong akan kemungkinan kehidupan yang lebih sihat kepada rakyat kita dengan mengelakkan mereka dari merokok mengunakan produk tembakau, malah menghisap vape yang mungkin merosakkan sistem pernafasan anak-anak muda Malaysia.
“Bagaimanapun, saya juga turut berhati-hati dengan kenyataan apabila RUU dimaktubkan dan GEG berkuatkuasa kelak maka apakah kesannya kepada rakyat yang memang sudah menjadi perokok dan rakyat yang masih menghisap rokok tidak sah,” katanya.
Menurutnya, ramai sebenarnya berharap perokok tegar masih mempunyai pilihan untuk berhenti merokok dengan cara yang lebih selamat, sama ada melalui terapi gantian nikotin (NRT) atau penggunaan alat yang kurang risiko seperti produk tembakau boleh dipanaskan (HTP) diperkenalkan di Jepun dan United Kingdom (UK) melalui rokok eletronik terkawal.
Bagaimanapun, Dr Sharifa berkata, malangnya, pelbagai produk berkenaan tidak dapat dikawal dengan baik ketika ini dan berkemungkinan disalah guna dengan memasukkan dadah seperti minyak ganja (LSD) dan ia boleh serta berpotensi berlaku tahun hadapan apabila Malaysia membenarkan penggunaan LSD.
“Selain itu, negara juga perlu memikirkan untuk laksana penguatkuasaan ketat kepada pasaran rokok kontraband dan tidak sah yang masuk melalui laluan haram tanpa membayar cukai melepasi sempadan negara.
“Lambakan rokok tidak sah ini adalah lebih berbahaya, mudah didapati, murah harganya dan popular dalam kalangan rakyat. Maka, apabila GEG dijalankan, pada masa sama sudahkah kita berjaya membenteras isu rokok haram ini?
“Beberapa kajian luar negara sudah menunjukkan apabila perundangan menjadi ketat, termasuk peningkatan cukai tinggi, maka penghisap rokok beralih ke produk rokok lain yang dibawa masuk secara haram,” katanya.
Ini sekali gus, katanya, menunjukkan dengan hanya melaksanakan GEG tidak menyelesaikan semua masalah yang berkaitan.
Beliau berkata, isu itu tidak sepatutnya tertumpu kepada kementerian tertentu seperti KKM sahaja sebaliknya memerlukan penggembelingan beberapa kementerian dalam membenteras rokok haram dari dijual di Malaysia.
Ditanya harapannya kepada semua Ahli Parlimen untuk pembentangan RUU itu nanti, beliau berharap kumpulan penggubal dasar negara itu untuk melihatnya daripada pelbagai aspek manfaat yang boleh berlaku akibat RUU dan GEG berkenaan.
“Aspek akses kepada rokok dan seumpamanya boleh kita halang, tetapi bagaimana pula kemungkinan akan wujudnya pembekalan rokok atau vape secara haram atau tidak bercukai, malah mungkin akan menjadi mahal dan dijual secara pasaran gelap.
“Kita kena faham, kohort lama iaitu yang masih merokok, akan wujud sekali bersama kohort baru iaitu yang sudah dikuatkuasakan GEG, contohnya generasi yang lahir tahun 2005 ke atas.
“Isu kohort perokok lama perlu penyelesaian juga, akan bagaimana mereka boleh dibantu untuk berhenti atau beralih kurang berisiko yang berbanding rokok tembakau,” katanya.
Dr Sharifa berkata, buat masa ini pembekal vape yang berdaftar patut diberi pilihan perniagaan lain kerana tidak akan ada lagi aspek berkaitan seumpamnya dalam pasaran pada masa depan.
Apa pun, beliau berharap Ahli Parlimen menyokong GEG dengan penambahan aspek-aspek pilihan lebih selamat, dan produk yang kurang risiko (NRT dan produk asap tanpa tembakau/smokeless tobacco) menggantikan rokok tembakau.
“Nasihat saya kepada golongan sasaran GEG generasi muda negara, jangan cuba mulakan merokok, jangan cuba mulakan vape. Kedua-duanya merosakkan kesihatan anda, membazir wang dan tiada bermanafaat,” katanya.
Pakar Kesihatan Awam, Dr Hanafiah Bashirun pula berkata, memang sepatutnya mana-mana doktor perubatan yang hakikatnya mempelajari ilmu kesihatan secara khusus wajib bersetuju dengan cadangan kerajaan untuk memperkenalkan akta baharu itu.
Beliau berkata, ia adalah satu pendekatan yang baik dengan tujuan melindungi generasi muda pelapis negara.
“Sekarang boleh dilihat jumlah pesakit semakin ramai yang secara tidak langsung boleh dikatakan sakit disebabkan oleh faktor pengambilan tembakau seperti rokok serta rokok elektronik bernikotin.
“Kita menceritakan penyakit jangka masa panjang atau pun chronic illness seperti sakit jantung, darah tinggi, masalah paru-paru dan kanser. Jadi apa yang kita nampak secara tak langsung ia disebabkan penggunaan tembakau dan vape pun sama yang ada nikotin.
“Apa yang dirancangkan kerajaan, generasi 2005 atau pun sekarang berusia 17 tahun dan yang bawah usia itu nak dilindungi. Ini juga untuk elak membebankan kerajaan dari segi kos perbelanjaan kesihatan kelak,” katanya.
Dr Hanafiah berkata, ia termasuk bebanan dari segi penggunaan katil hospital serta kos untuk rawatan khususnya yang disebabkan berpunca ketagihan tabiat merokok dan menghisap vape.
Beliau berkata, semua sedar bayaran di hospital kerajaan adalah amat rendah dengan pesakit mendapat rawatan termasuk ubat terbaik.
“Contoh lain jika pergi rawatan jantung di hospital swasta kosnya boleh mencecah puluhan ribu ringgit termasuk caj katil berbanding kos itu yang ditanggung kerajaan di hospital kerajaan.
“Sebenarnya kos ini adalah satu beban kepada kerajaan sedangkan sakit yang demikian boleh dicegah seperti hasrat melindungi generasi depan. Sekurang-kurangnya nanti andai GEG berjaya lima hingga 10 tahun akan datang dan seterusnya, penggunaan katil hospital adalah lebih kepada yang memerlukan atau pun sakit serta kecederaan sukar untuk dicegah seperti kemalangan dan penyakit lain,” katanya.
Menurutnya, persoalan mengapa tindakan drastik pencegahan tidak dibuat sebelum ini adalah disebabkan ketika itu belum ada kesedaran political will iaitu kemahuan politik atau kemahuan untuk melakukan sesuatu dengan kuasa politik yang ada pada seseorang pemimpin terdahulu.
Beliau berkata, rawatan yang terbaik sebenarnya adalah pencegahan sebelum terjadinya sesuatu penyakit berbanding dengan merawat selepas sesuatu penyakit itu sudah pun berlaku.
“Saya mengharapkan semua Menteri dan Ahli Parlimen kita bahawa mempunyai mindset tujuan GEG ini adalah pencegahan walaupun kita harus akui kemungkinan tidak berjaya 100 peratus.
“Sekurang-kurangnya kita berubah pendekatan, sudah lakukan langkah pencegahan sewajarnya dan terbaik untuk melindungi anak-anak kita. Jika kita tak hentikan atau tamatkan tabiat buruk terhadap kesihatan dan ditambah pula dengan generasi sedia ada, saya rasa kelak jumlah pesakit melebihi kapasiti hospital atau overload,” katanya.
Namun beliau berpendapat pelaksanaan GEG akan berhadapan cabaran besar termasuk kemungkinan tiada kerjasama daripada peniaga produk rokok dan rokok elektronik.
Selain itu, katanya, persoalan timbul bagaimana kawalan akan dikuatkuasakan seperti perlukah pengguna yang melakukan pembelian produk berkenaan menunjukkan kad pengenalan untuk mengetahui tahun kelahiran seperti disyaratkan.
“Adakah peniaga akan patuh arahan seperti melihat kad pengenalan atau kemungkinan lain-lain syarat jualan produk rokok dan rokok elektronik? Sedangkan pengetahuan umum, orang berniaga mesti nakkan keuntungan.
“Selain itu mungkin juga berlaku generasi lebih tua belikan produk itu untuk mereka yang lahir 2005 ke bawah ini. Sebab itu saya katakan pelaksanaan penguatkuasaan GEG kelak pastinya berdepan sudut sukar,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Khas Latihan dan Kepimpinan Majlis Belia Malaysia (MBM), Amir Syarifuddin Abdul Majid berkata sudah jelas RUU yang bakal dibentangkan KKM untuk langkah awal dalam pembentukkan generasi muda sihat dan bebas daripada tabiat merokok sekali gus sewajarnya disokong oleh semua lapisan masyarakat.
Beliau turut memberikan beberapa cadangan penambahbaikan GEG termasuk supaya kerajaan mempersiapkan pusat rehabilitasi sebagai pelan sokongan kepada kumpulan sasaran.
“Ini kerana disebabkan kumpulan sasaran yang menjadi fokus perlaksanaan GEG adalah remaja yang berusia 17 tahun dan sesetengah daripada kumpulan ini sudah pun terjebak dengan tabiat merokok.
“Penguatkuasaan RUU Kawalan Tembakau dan Merokok juga perlulah meningkatkan kadar kompaun bagi individu yang didapati bersalah sebagai pengajaran yang diingati,” katanya.
METRO