Enggan dibayangi ‘Nurul Ain’
Setiap kali drama bersiri 7 Hari Mencintaiku menemui penonton, nama Wafariena Roslan kembali menjadi sebutan peminat.
Ramai yang menyukai keletah Wafa sebagai Nurul Ain menerusi drama yang memasuki musim ketiga ini.
Bersyukur terbabit dalam cerita ini, Wafa tidak mahu bakatnya hanya dinilai menerusi 7 Hari Mencintaiku semata-mata.
“Alhamdulillah. Musim pertama drama ini, saya adalah orang baharu. Musim kedua orang mula mengenali, manakala musim ketiga orang dah kenal dan makin ramai peminat.
“Sampai sekarang pun saya masih dipanggil Nurul Ain oleh peminat. Tapi, saya nak kalau boleh biar peminat nampak juga lakonan saya menerusi pelbagai drama lain.
“Ikutkan saya dah banyak berlakon drama, tapi belum ditayangkan oleh stesen TV. Saya kena bersabar buat masa ini,” katanya.
Antara drama lakonan Wafariena yang menanti tayangan ialah Tersuka Dia, Tok Guru, Alamak! Lagi-Lagi Dia, Aku Tauhu Kau Bergedil, Lara Semalam, Zuriat Dari Penjara, Gangster Ker? dan banyak lagi.
“Kebanyakan watak yang saya dapat adalah heroin dan pembantu. Syukur kerana momentum saya agak cepat dalam bidang ini.
“Saya kini terbabit dengan drama Wanita Milik Tuan Putera untuk slot Akasia TV3. Sekarang saya berada di Perlis untuk penggambaran telefilem Wanji.
“Saya pula bukan memilih watak kerana sering tampil dengan banyak watak berbeza. Saya dah pernah bawa watak emak, sedih dan gangster,” katanya.
Baginya, dia mahukan kelainan dan mempelbagaikan genre lakonannya di mata peminat.
“Saya betul-betul nak fokus berlakon. Sekarang pun tak cukup rehat, tapi yang penting ialah saya puas dengan apa yang dibuat,” katanya.
Wafa yang pernah menghasilkan single berjudul Carilah Aku juga tidak mahu terburu-buru menghasilkan single kedua.
“Perancangan itu ada, tapi belum mampu dilaksanakan. Ramai yang minta saya tampil dengan single terbaharu, tapi saya tak cukup masa.
“Kena teliti lagu yang sesuai ikut trend semasa. Tak boleh tergesa-gesa. Saya nak cari komposer yang buat lagu kena dengan suara. Paling utama saya tak nak tamak,” katanya.
Pada usia 27 tahun sekarang, pelakon berasal dari Pulau Pinang ini belum memikirkan soal jodoh.3
“Kalau dulu, mungkin orang cakap usia ini dah patut kahwin. Tapi, sekarang walau dah umur 30 tahun pun belum kahwin ia perkara biasa. Sebabnya saya ada kerjaya. Kalau tiada kerjaya dan tanggungjawab, mungkin saya dah kahwin. Tapi, sebab pegang tanggungjawab besar, saya tak fikir kahwin.
“Ada jodoh dan apabila sampai seru kahwin nanti. Keluarga saya pun tak mendesak. Mereka tahu saya nak kejar cita-cita dari dulu lagi,” katanya.
Menurutnya, dia perlu mengejar kerjaya dan masa depan. Tambah lagi dia hanya mempunyai ibu dan adik-adik yang perlu dijaga.
“Ini tanggungjawab saya dunia dan akhirat. Biar saya jaga keluarga dulu buat masa ini,” katanya.
METRO