KPT, UTM anjur bengkel kelulut moden

 

KPT, UTM anjur bengkel kelulut moden

BATU PAHAT – Bengkel Kelulut Moden Bee-Modular anjuran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) di Parit Sulong sejajar dengan hasrat kementerian agar universiti awam menurunkan ilmu kepada penduduk setempat.

Menterinya, Dato’ Dr. Noraini Ahmad berkata, program seumpama itu memberi manfaat kepada penduduk khususnya dalam usaha kementerian menyantuni Keluarga Malaysia.



Menurutnya, inisiatif memperkasakan komuniti menerusi program pemindahan ilmu dan teknologi perlu diteruskan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sebagai sumbangan kepada pembangunan sosioekonomi masyarakat.

Katanya, penganjuran bengkel itu juga selari dengan aspirasi kementerian agar semua IPTA memperbanyakkan program ‘turun padang’ serta menyemarakkan perkongsian ilmu dan kepakaran ahli akademik dengan komuniti menerusi program University for Society@Keluarga Malaysia (UNiTY).

“Saya sentiasa menggalakkan universiti awam mengambil komuniti angkat di kawasan tertentu, seterusnya membangunkan penduduk mengikut bidang kepakaran masing-masing,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Bengkel Kelulut Moden Bee-Modular Fasa 1 KPT-UTM di Parit Sulong dekat sini, baru-baru ini.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Dr. Mohd Zabri Yusoff, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Dato’ Dr. Husaini Omar dan Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail.



Sementara itu, Dr. Fauzi berkata, kejayaan UTM menghasilkan reka bentuk mesin yang telah terbukti dapat meningkatkan produktiviti pengeluaran mi siput daripada 80 kilogram (kg) kepada 250 kg untuk sekali pengeluaran menjadi dorongan kepada pihak universiti untuk terus membawakan inovasi
teknologi kepada penduduk seperti projek ternakan madu kelulut di Parit Sulong ini.

Menurutnya, langkah strategik itu terbukti membantu meningkatkan kecemerlangan serta keterlihatan universiti kepada masyarakat awam,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pejabat Komunikasi Korporat UTM.

Mengulas lanjut projek ternakan kelulut di Parit Sulong, katanya, seramai 30 peserta yang terdiri daripada penduduk setempat telah dipilih untuk menyertai bengkel fasa 1 pemindahan ilmu dan teknologi Bee-Modular Box.

“Bengkel ini juga membantu meningkatkan penjanaan pendapatan komuniti dengan mengaplikasikan inovasi yang dibangunkan UTM,” katanya. Tambahnya, matlamat utama penganjuran bengkel enam fasa itu adalah memastikan peserta menerima ilmu mengenai asas perniagaan, pemasaran, penjenamaan dan kaedah pengurusan sistematik teknologi kelulut moden Bee Modular Box.



“Pada akhirnya, bengkel ini membantu mereka menjana pendapatan tambahan yang lestari untuk mereka,” ujarnya.

Sementara itu, kenyataan media itu turut menyebut, UTM melalui Sekolah Perniagaan Azman Hashim (AHIBS) berjaya menghasilkan inovasi kekotak konkrit formulasi khas berteknologi tinggi (Bee-Modular Box) bagi menggantikan kekotak konvensional menggunakan kayu.

Inovasi dan teknologi kekotak konkrit itu lebih berdaya tahan untuk jangka masa panjang serta mampu menghasilkan kualiti madu kelulut yang mencapai piawaian bertaraf antarabangsa.

“Teknologi ini mampu meningkatkan potensi pasaran madu kelulut dalam memperkukuhkan sosioekonomi komuniti setempat, khususnya golongan B40,” kata kenyataan itu.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button