Judo hadiahkan pingat gangsa kepada negara

BIRMINGHAM: Atlet judo, Amir Daniel Abdul Majeed menceriakan kontinjen negara apabila meraih pingat gangsa pada temasya Sukan Komanwel 2022, dekat sini, hari ini.

Pemenang gangsa Sukan SEA 2021 itu memperoleh pingat berkenaan selepas lawannya dari Cyprus, Dato Matsoukatov dibatalkan penyertaan pada saingan penentuan 73 kilogram (kg) di Arena Coventry.

Pencapaian itu sekali gus menjadikan kontinjen negara yang diketuai Datuk Shahrul Zaman Yahya sudah menghimpunkan tujuh pingat setakat ini merangkumi dua emas, dua perak dan tiga gangsa.



Jurulatih judo kebangsaan, Md Nashriq Md Nasir melahirkan rasa gembira dengan pencapaian Amir Daniel yang disifatkan sangat membanggakan itu.

“Syukur, Alhamdulillah atas kejayaan ini. Walaupun menang gangsa ini selepas penyertaan lawan dibatalkan, ia tetap satu pencapai membanggakan.

“Ia sekali gus menunjukkan usaha dan kerja keras yang dilakukan Amir Daniel selama ini bersama skuad judo negara berbaloi,” katanya.

Pada saingan 16 terbaik, Amir mengatasi wakil Samoa, William Tai Tin 10-0. Namun pada peringkat suku akhir, dia tewas kepada peserta Australia, Jake Bensted menerusi satu penalti.



Selepas itu, Amir Daniel bangkit menewaskan Narciso Mozana dari Mozambique pada saingan repechage, 10-0 untuk ke peringkat penentuan pingat menentang Matsoukatov.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button