Nombor giliran ‘one-shot’ menyusahkan

Orang ramai yang tidak tahu mengenai nombor giliran yang dikeluarkan secara one-shot cuba bersemuka dengan pegawai JIM Cawangan UTC Pudu meskipun kaunter berkenaan telah ditutup

Oleh Azrin Muhammad

KUALA LUMPUR – Tindakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengeluarkan nombor giliran secara sekali gus (one-shot) di UTC Pudu dilihat tidak relevan serta menyusahkan orang ramai khususnya warga emas dan pelajar.



 

Tinjauan My News Online di UTC Pudu mendapati, kebanyakan agensi masih dipenuhi orang ramai tetapi sebaliknya berlaku di JIM yang terletak di tingkat dua sehingga menimbulkan tanda tanya kerana kelihatan lengang.

 

Hal ini disebabkan JIM Cawangan UTC Pudu menggunakan kaedah mengeluarkan nombor giliran secara one-shot pada pukul 8 pagi sahaja sebelum menutup kaunter satu yang menyediakan khidmat pertanyaan dan nombor giliran.



 

Dalam masa sama, nombor giliran yang dikeluarkan itu juga terhad iaitu anggaran 60 hingga 70 nombor giliran setiap hari dan terbahagi kepada tiga sesi iaitu 8 pagi, 2 petang dan 5 petang.

 

Tambah rumit, arahan berkenaan hanya dikeluarkan menerusi satu notis bertulis di cawangan itu tetapi tidak dimaklumkan di mana-mana laman web rasmi JIM mahupun JIM Cawangan UTC Pudu.



 

Wartawan My News Online terpaksa menunggu sehingga lebih 15 minit sebelum didatangi tiga anggota wanita dan salah seorang daripadanya dipercayai Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Cawangan UTC Pudu, Siti Nurul Aida Baginda Saharudin.

 

Menurutnya, arahan tersebut dikeluarkan tanpa pekeliling rasmi dan hanya diputuskan sendiri oleh cawangan itu bagi mengelakkan orang ramai datang memenuhi cawangan itu sepanjang tempoh operasi harian, bermula pukul 8 pagi hingga 10 malam.



 

Ketika diasak dengan pelbagai soalan, pelanggan lain yang tidak tahu mengenai arahan tersebut turut menggunakan kesempatan memenuhi kaunter satu mempertikaikan tindakan JIM cawangan itu.

 

Kaedah berkenaan dilihat menyusahkan banyak pihak terutama warga emas dan ibu bapa yang perlu datang ke cawangan itu sekurang-kurangnya dua kali iaitu waktu pagi untuk mengambil nombor giliran dan sekali lagi pada waktu petang untuk berurusan di kaunter.



 

Jadi, setiap pengunjung yang datang menggunakan kenderaan sendiri perlu membayar kadar tempat letak kereta sebanyak dua kali, manakala pengunjung yang menggunakan pengangkutan awam perlu menunggu lama sekiranya giliran mereka pada waktu petang.

 

Menurut salah seorang pelanggan yang hanya dikenali sebagai Sal, 54, dia terpaksa berkunjung ke JIM Cawangan Pudu selepas mendapati pasport yang dipohon secara dalam talian mempunyai masalah cap jari.



 

“Saya membuat carian menggunakan internet terlebih dahulu dan cawangan ini adalah paling dekat dengan kediaman saya, jadi saya terus datang ke sini tetapi malangnya tidak dapat berurusan,” katanya.

 

Dalam perkembangan sama, JIM yang terletak di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jalan Duta beroperasi dengan lancar tanpa ada sebarang masalah mengenai nombor giliran bagi kesemua kaunter.

 

Tinjauan My News Online mendapati kaunter nombor giliran masih dibuka ketika pukul 4 petang serta layanan yang diberikan juga sangat baik.

 

Terdahulu, My News Online membuat tinjauan di beberapa JIM sekitar Kuala Lumpur berhubung pelajar yang perlu membuat pasport atau dokumen perjalanan terhad (DPT) selepas keputusan UPUOnline diumumkan 22 Julai lalu.

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button