Tanam cendawan elak keracunan

 Cendawan Tiram Kelabu selamat dimakan dan mudah ditanam untuk dikomersialkan kerana mempunyai potensi besar berdasarkan permintaan tinggi di pasaran.

Oleh Azrin Muhammad

KUALA LUMPUR – Orang ramai dinasihatkan untuk membeli cendawan komersial yang dijual di pasaran atau menanam sendiri cendawan liar biasa bagi mengelakkan insiden keracunan makanan.



 

Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Sains dan Sekitaran Marin Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Aqilah Mohammad, tidak semua cendawan selamat dimakan walaupun ia kelihatan elok, gebu dan besar.

 

“Sebenarnya cendawan mengandungi toksin yang berbeza untuk setiap spesies dan ada cendawan yang boleh menyebabkan gejala iritasi kepada badan manusia seperti loya, muntah, cirit-birit, demam dan toksin yang menyebabkan gangguan halusinasi serta kecelaruan fikiran.



 

“Lebih membimbangkan kerana kesan toksin cendawan boleh menyebabkan kematian sekiranya tidak dirawat segera kerana tidak semua mempunyai kemahiran mengenal cendawan,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

 

Katanya, UMT kini sedang berkongsi ilmu bersama-sama penduduk Mengabang Telung, Batu Rakit di Kuala Nerus menerusi projek pertanian berkelompok cendawan tiram kelabu.



 

Tambah Aqilah, seramai 10 penduduk dipilih menjadi perintis bimbingan cara penanaman sistematik yang berpotensi meningkatkan sosioekonomi ekoran mempunyai permintaan tinggi di pasaran.

 

“Projek ini telah dimulakan sejak April tahun lalu dan peserta mula mendapat hasil melalui tuaian pertama sebanyak lapan kilogram empat hari lalu.



 

“Projek ini mendapat dana berjumlah RM8,000 melalui Skim Geran Asimilasi Pengetahuan dan Teknologi (KTAGS) 2021, Pusat Pemindahan Ilmu dan Jaringan Industri UMT dengan kerjasama Pejabat Pertanian Kuala Nerus,” katanya.

 



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button