Barca buat untung, Arsenal tanggung rugi

LONDON: Arsenal gagal mengesahkan klausa penjualan apabila mereka membenarkan Pierre-Emerick Aubameyang keluar secara percuma untuk menyertai Barcelona.

Dan kini gergasi Sepanyol itu boleh mendapat wang selepas hanya enam bulan kemudian ketika Chelsea mahukan penyerang bernilai £15 juta (RM81.28 juta) itu selain rakan sepasukannya, Frenkie de Jong.

Malah Barcelona langsung tidak membayar gaji Aubameyang untuk 23 perlawanan buat mereka musim lalu kerana Arsenal sudah membayarnya.



Pengurusan di Emirates terdesak untuk mengeluarkan Auba selepas berbalah dengan bos, Mikel Arteta dan mereka bersetuju membayar gajinya sebanyak £7 juta (RM37.93 juta) untuk baki musim.

Ia bagaimanapun kembali menyusahkan mereka apabila pemain antarabangsa Gabon itu meledak 13 gol bagi membantu Barca menamatkan musim di tangga kedua La Liga.

Arsenal menamatkan kontrak Aubameyang dengan gaji £350,000 (RM1.89 juta) seminggu supaya mereka tidak lagi terbabit dalam mana-mana perpindahan selepas itu.

Bagaimanapun selepas Barca menandatangani Robert Lewandowski, Auba kini menjadi ‘lebihan’ di kelab itu.



Dan kini pengurusan di Nou Camp sedar bos Chelsea, Thomas Tuchel mahu kembali bekerjasama dengan bekas penyerang Borussia Dortmund itu.

Aubameyang bersetuju untuk menerima potongan gaji kepada £80,000 (RM433,508) apabila menyertai kelab itu pada Januari.

Namun Barca hanya membayarnya musim ini kerana Gunners sudah membayar £7 juta (RM37.93 juta) sebelum itu.

AGENSI



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button