Cristiano Ronaldo tak sabar beraksi
LONDON: Bintang Manchester United, Cristiano Ronaldo sudah sedia beraksi menentang Brentford tengah malam esok.
United melalui permulaaan yang buruk pada musim baharu minggu lalu apabila tewas 2-1 kepada Brighton di Old Trafford dan diejek ketika keluar padang oleh penyokong sendiri.
Ronaldo, yang masuk dari bangku simpanan pada babak kedua menjadi perhatian sebelum ini apabila memberitahu kelab dia mahu keluar dalam usaha mencari pasukan yang beraksi dalam Liga Juara-Juara.
Bagaimanapun pemenang lima kali Ballon d’Or itu masih berlatih dengan gigih bersama rakan sepasukan Red Devils di Carrington selepas tidak menyertai pramusim.
Pengurus United, Erik ten Hag cuba membentuk kembali pasukannya dan bersedia menentang Brentford di Stadium Gtech Community.
Ten Hag mengarahkan Ronaldo, Christian Eriksen dan Bruno Fernandes membuat latihan kepantasan di bawah terik matahari.
Ini selepas pakar taktikal Belanda itu mengakui dia “ada banyak kerja” perlu dilakukan di United.
Ten Hag berkata selepas kekalahan kepada Brighton: “Ada banyak kerja selepas ini – kami mesti bekerja keras, membuat analisis dan kemudian bergerak ke depan.
“Hari ini permulaan yang bagus dan kemudian kami kurang percaya serta melakukan kesilapan menyebabkan lawan menghukum kami,” katanya.
AGENSI