Steve Khiew, Yong Qi terima Anugerah Khas SUKIPT 2022
STEVE KHIEW (kiri) dan Ong Yong Qi dipilih sebagai Olahragawan dan Olahragawati SUKIPT 2022 di Tanjung Malim, Perak baru-baru ini.
Rohana Man
KUALA LUMPUR – Mahasiswa Universiti UCSI, Steve Khiew Hoe Yean dan mahasiswi Universiti Sunway, Ong Yong Qi masing-masing dipilih sebagai Olahragawan dan Olahragawati Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2022 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim, Perak baru-baru ini.
Dengan kejayaan sebagai pemenang utama Anugerah Khas SUKIPT 2022 itu, masing-masing layak menerima hadiah wang tunai bernilai RM3,000 setiap seorang.
Steve Khiew merupakan pelajar program Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan UCSI dan pernah melakar kejayaan lain iaitu memungut pingat emas dalam acara renang 200 meter gaya bebas Sukan SEA 2021, selain berjaya memecah rekod kebangsaan dalam acara renang 400 meter gaya bebas pada Kejohanan Akuatik Dunia 2022 yang berlangsung di Budapest, Hungary pada 17 Jun hingga 3 Julai 2022.
Sementara itu, perenang wanita negara, Ong Yong Qi sebelum ini menghadiahkan dua butir pingat emas acara renang di temasya Sukan Universiti ASEAN pada Julai lalu apabila mengungguli acara 200 meter kuak kupu-kupu wanita.
Kecemerlangan kedua-dua atlet renang negara itu dikongsi dalam laman rasmi Facebook Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) semalam.
SUKIPT 2022 Edisi Ke-5 telah berlangsung di UPSI, Tanjung Malim, Perak pada 15 hingga 23 Ogos 2022.
Kejohanan dwi tahunan itu menawarkan 208 pingat emas melibatkan penyertaan 66 kontinjen dengan kira-kira 6,000 atlet universiti awam, universiti swasta, politeknik dan kolej komuniti seluruh negara.
Dalam satu perkembangan lain, kontinjen Universiti Putra Malaysia (UPM) dinobatkan sebagai pemenang keseluruhan SUKIPT 2022 yang menutup tirai pada Ahad lalu.
Sebanyak 38 pingat emas, 19 perak dan 20 gangsa diraih bagi melayakkan UPM dipilih sekali lagi sebagai kontinjen terbaik SUKIPT 2022.
Sebelum kejayaan itu, UPM melakar kecemerlangan sebagai juara keseluruhan SUKIPT 2018 yang berlangsung di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Mengulas pencapaian membanggakan UPM itu, ketua kontinjennya, Profesor Madya Dr. Tajularipin Sulaiman berkata, pihaknya berasa bangga dengan kejayaan dua kali berturut-turut SUKIPT pada 2018 dan 2022.
Katanya, walaupun terdapat beberapa acara sukan gagal mencapai sasaran kutipan pingat emas, namun pihak Akademi Sukan UPM tetap berasa bangga dengan kejayaan yang digapai itu.
Beliau melahirkan rasa puas hati dengan pencapaian kontinjen UPM kali ini walaupun ada beberapa acara sukan yang disasarkan gagal menyumbang pingat emas.
“Apa yang saya lihat, semua atlet UPM telah berjuang dengan penuh semangat kesukanan sepanjang kejohanan ini berlangsung,” katanya.
Sehubungan itu, Dr. Tajularipin mengumumkan atlet UPM yang meraih pingat emas SUKIPT 2022 akan menerima ganjaran.
“Pihak UPM akan meraikan atlet yang telah mengharumkan nama universiti dalam satu majlis apresiasi dan insentif sukan yang akan diumumkan kelak,”tambahnya.
Berada di tempat kedua adalah Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang menutup tirai temasya kali ini dengan mengumpul 19 emas, 18 perak dan 33 gangsa.
Dalam pada itu, sebuah universiti swasta, Universiti Sunway tidak kurang hebatnya dalam persaingan apabila berjaya meletakkan diri di kedudukan tangga ketiga keseluruhan dengan meraih 15 pingat emas, 18 perak, 33 gangsa.