Zeus Malaysia sasar jual 40,000 topi keledar
KUALA LUMPUR: Zeus Malaysia, pengedar rasmi topi keledar jenama Zeus dari Taiwan menjangkakan jualan barisan produknya mencecah 40,000 unit tahun ini, di sokong harga mampu milik dan grafik menarik yang ditawarkan.
Ketua Jualannya, Rafe Jamil, berkata jenama topi keledar yang mula memasuki pasaran Malaysia pada 2018 ditawarkan pada harga RM370 hingga RM400 bagi material plastik ABS, manakala bagi upper fiber glass pula ditawarkan pada harga RM510.
Katanya, untuk pasaran Malaysia, setiap grafik dilakukan secara tempatan bagi memenuhi keperluan pasaran domestik, selain mengambil kira kehendak pemilik motosikal serta sensitiviti pasaran merangkumi budaya dan agama.
“Sebagai pengedar rasmi Zeus di Malaysia, kami memberi tumpuan kepada grafik kerana pelanggan Malaysia memiliki selera unik, tidak hanya mementingkan keselamatan ketika menunggang atau membonceng motosikal, malah mahu kelihatan ‘ranggi’ dan menonjol.
“Setakat ini, kami sudah menjual lebih 20,000 unit topi keledar bagi tahun 2022,” katanya.
Tahun lalu, Zeus Malaysia menjual 20,000 unit topi keledar di Malaysia.
Zeus Malaysia mula aktif dalam aktiviti pengedaran pada 2020 dengan kini memiliki sejumlah 143 pengedar di seluruh negara.
Pilihan 144 grafik
Setakat ini, Zeus Malaysia menawarkan kira-kira 144 grafik merentasi 12 model, sama ada topi keledar open face atau full face.
Setiap topi keledar Zeus didatangkan dengan waranti setahun untuk ‘factory defect’.
Menyentuh mengenai kelebihan topi keledar Zeus, Rafe berkata, ia (grafik) dihasilkan mengikut citarasa Malaysia tanpa berkompromi dengan spesifikasi yang ditetapkan kerajaan, selain bersesuaian dengan cuaca di negara ini.
“Walaupun pasaran tempatan kita dibanjiri dengan pelbagai jenama topi keledar, saya melihat pasaran masih menawarkan potensi untuk Zeus Malaysia berkembang.
“Dengan jumlah motosikal terus meningkat di atas jalan raya, keperluan kepada topi keledar mampu milik, tetapi berkualiti dan berdaya tahan amat tinggi.
“Walaupun saiz pasaran Malaysia berdasarkan faktor populasi tidaklah sebesar pasaran negara jiran seperti Thailand dan Indonesia, namun ia tetap memberi ruang kepada Zeus Malaysia terus menempatkan diri dalam kalangan peserta pasaran utama,” katanya.
BHOnline