Raja Permaisuri rasmi Floria Diraja Putrajaya 2022
PUTRAJAYA: Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, hari ini merasmikan Floria Diraja Putrajaya 2022 dan melawat tapak festival di Anjung Floria yang mempamerkan pelbagai spesies dan kultivar bunga-bungaan serta tanaman hiasan.
Keberangkatan tiba Tunku Azizah disambut Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.
Seri Paduka berkenan meluangkan masa lebih sejam melawat sekitar tapak festival.
Raja Permaisuri turut dipersembahkan dengan spesies orkid Philonopsis daripada Perbadanan Putrajaya.
Seri Paduka menzahirkan kecintaan terhadap tanaman hiasan dan sayur-sayuran, dengan menjadikan penanaman sebagai aktiviti harian bersama kakitangan di Istana Negara, terutama ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Saya memang suka bunga dan tanam sayur. Ketika dua tahun ‘dikunci’ di istana, saya bersama dengan warga Istana Negara sempat berkebun dan tanam sayur di belakang istana.
“Sehingga kini, kebun itu masih ada tetapi disebabkan kesibukan, kami sudah kurang ke kebun.
“Banyak hasil yang kami dapat seperti timun, kangkung, bayam, bayam Brazil, kacang botor dan jagung,” titah baginda.
Selain Shahidan, turut hadir, Timbalannya, Datuk Seri Jalaluddin Alias; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Rosida Jaafar dan Presiden PPj, Datuk Fadlun Mak Ujud.
Raja Permaisuri turut berseloroh meminta warga Istana Negara kembali berkebun.
“Kita kena kembali ke istana untuk berkebun dan mungkin tanam pokok bunga pula,” titah baginda
Sementara itu, Shahidan dalam ucapannya memaklumkan Floria Diraja Putrajaya adalah antara produk ekonomi yang menjadi penyumbang penting kepada sektor pelancongan negara.
Katanya, festival itu mampu mencetuskan pelbagai peluang perniagaan dan perkhidmatan luas meliputi bidang semaian komersial, bekalan bahan tanaman bunga dan hiasan, perundingan dan penyenggaraan landskap serta perkebunan.
“Ia turut meliputi sektor bekalan jentera dan peralatan perkebunan, sewaan pokok bunga, hiasan bunga, perundingan persekitaran, pemuliharaan sumber alam dan eko-pelancongan.
“Penganjuran Floria Diraja Putrajaya menyumbang kepada peningkatan potensi industri bunga, landskap dan pelancongan sebagai satu daripada bidang ekonomi utama negara (NKEA), seterusnya memacu perkembangan industri ini sebagai pelaburan menguntungkan,” katanya.
Anjung Floria di Presint 4 ditransformasi menjadi hamparan bunga terbesar sepanjang tujuh hari penganjuran Floria Diraja Putrajaya 2022 bermula hari ini sehingga 4 September ini.
Bertemakan ‘Floria Hebat’ dengan orkid sebagai bunga tema, edisi terkini Festival Bunga dan Taman menghimpunkan kira-kira 10,000 orkid yang dipamerkan dengan lebih daripada 400,000 pokok pelbagai spesies.
Antara komponen baharu adalah Taman Keluarga Malaysia, Taman Koboi dan Sukulen, Taman Instagrammable, Hiasan Dinding Orkid dan Terowong Oncidium.
Selain itu Clock Meadow, Taman ‘Glow in the Dark’ serta Taman Bonsai dan Suiseki manakala komponen seperti Laman Astaka Diraja dan laluan utama kembali dengan wajah baharu.
BHOnline