‘Jumaat berdarah’ segar dalam ingatan

Kuala Lumpur: Berpantang maut sebelum ajal. Demikian situasi dilalui pesara polis hutan, Sarjan (B) Rosidi Semail, 74, ketika bertugas menentang komunis yang sedang mengganas di Sik, Kedah pada 16 Jun 1972.

Biarpun sudah lima dekad berlalu, peristiwa yang digelar Jumaat Berdarah itu masih segar dalam ingatannya.

Rosidi yang bertugas di Platun 16, Delta Kompeni, Markas Taktikal Kota Aur bersama 12 anggota ditugaskan mengiringi petugas Kompeni Alpha di Kampung Mung Gajah datang mengambil bekalan makanan mingguan di Kota Aur.



Mereka menaiki lima trak tanpa bumbung dan sebuah perisai jenis JMC, diketuai seorang koperal bergerak ke base Kompeni Alpha di Ampangan Muda, Kampung Mung Gajah yang terletak 15 kilometer dari Kota Aur.

“Ketika, kami melewati jalan berselekoh tajam antara Kota Aur dengan Kampung Mung Gajah tiba-tiba hujan gerimis. Orang tua-tua pernah berkata, kalau hujan panas, waspada kemungkinan ada orang akan mati berdarah.

“Walaupun Islam melarang mempercayainya namun petua orang-orang tua sukar dibuang dari kotak fikiran,” katanya.

Menurutnya, biar apapun berlaku, mereka sentiasa bersiap sedia berdepan segala kemungkinan termasuk serangan hendap daripada komunis.



“Senapang M16 di tangan dengan muncung menghala ke bukit siap untuk memuntahkan peluru.

“Jalan sempit, selekoh tajam, lereng bukit dan gaung membuatkan kami terdedah kepada sasaran peluru dan memberi kelebihan kepada musuh membuat serangan hendap,” katanya.

Jelasnya, setibanya di situ, pegawai Kompeni Alpha menghubungi dan memaklumkan akan ke Kota Aur dengan kekuatan anggota lebih ramai.

“Kami berpatah balik ke Kota Aur dan sebaik tiba, kami dimaklumkan satu platun dari Alpha Kompeni yang ditugaskan mengambil bekalan makanan diserang hendap oleh komunis mengakibatkan empat anggota terkorban dan sebuah lori empat tan musnah serta senapang M16 dirampas,” katanya.



Katanya, dia sangat terkejut dengan berita itu kerana baru setengah jam lalu mereka melalui kawasan itu.

“Saya pasti komunis sudah berada di situ namun mereka memilih pasukan lain. Mungkin juga mereka takut kerana sebuah kereta perisai mengiringi kami pada ketika itu,” katanya.

Katanya, sebaik menerima berita itu, mereka terus ke lokasi serangan hendap dan tiba sejam kemudian.

“Rakan kami dari Platun 15 Kompeni Delta tiba terlebih dahulu.



“Mereka mendaki bukit untuk menjejak komunis. Malangnya lima anggota platun tercedera terpijak jerangkap samar.

“Dalam situasi kelam-kabut itu saya mengalami kecederaan ringan di lengan dan sakit pada bahagian pinggang akibat terkena serpihan jerangkap samar,” katanya.

Tambahnya, dia bersama rakan yang cedera dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang dengan menggunakan helikopter.

“Saya dirawat sebagai pesakit luar manakala rakan yang parah di masukkan ke wad untuk rawatan lanjut.



“Biarpun begitu, setiap hari saya tetap berada di wad menjaga dua rakan yang parah termasuk seorang yang tidak sedarkan diri akibat kecederaan serius di kepala,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button