Percepat PRU, elak niat jahat pembangkang
Oleh Azrin Muhammad
KUALA LUMPUR – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) perlu diadakan secepat mungkin bagi mengelakkan niat jahat parti lawan memanipulasi fikiran rakyat.
Penegasan itu dibuat berikutan tindakan agresif parti lawan yang membuat serangan demi serangan memburuk-burukkan pemimpin BN khususnya dalam tempoh penghujung penggal pemerintahan.
Kata Ahmad Zahid, gesaan yang dibuat oleh pihaknya tidak mempunyai kaitan dengan kes mahkamah yang dikenakan terhadap pemimpin BN kerana parti hanya fokus kepada nasib rakyat.
“Kita minta PRU-15 disegerakan bukan kerana kita takut, sama sekali tidak berkaitan kes mahkamah yang dikenakan terhadap pemimpin BN.
“Kita tahu apa yang sedang diusahakan oleh pihak lawan untuk memanipulasi fikiran rakyat. Mereka sedang mencipta pelbagai naratif sama seperti mereka lakukan pada pilihan raya lalu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambahnya, parti lawan dilihat semakin terdesak menggerakkan saki baki ‘kuasa’ yang masih ada dalam genggaman untuk melancarkan propaganda baharu.
Katanya lagi, tindakan tersebut perlu dihentikan demi kemaslahatan Malaysia dengan cara menyelamatkan rakyat daripada janji-janji palsu serta fitnah oleh parti lawan.
“PRU-15 bukan semata-mata tentang BN tetapi ia adalah demi rakyat dan negara. Rakyat perlu diselamatkan daripada dikelirukan lagi oleh mereka kerana natijahnya amatlah buruk untuk masa depan kita.
“Kenyataan ini bukan retorik, sebaliknya ia adalah kaedah paling berkesan dan berperlembagaan untuk memulihkan negara dan kehidupan masyarakat,” katanya.