Mengaku Sahajalah PH Belum Sedia Banjir Jadi Alasan Mahu PRU Lambat
KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi membidas Pakatan Harapan (PH) khususnya PKR yang menjadikan banjir sebagai alasan untuk melewatkan Pilihan Raya Umum (PRU) ke tahun hadapan.
Katanya, PKR paling takut kalau PRU dibuat tahun ini kerana PKR masih kelam kabut, belum bersedia dan mula bimbang jika keputusan pemilihan parti itu baru baru ini diisytiharkan ‘null and void’.
“Banjir dijadikan alasan. Ketua Penerangannya Fahmi Fadzil kata lebih baik dana PRU RM 1B itu digunakan untuk bantu mangsa banjir.
“Logik apa yang Fahmi pakai. Kalau tahun hadapan belanjanya tetap RM 1B. Tahun ini atau tahun hadapan sudah tentu bajet untuk PRU sudah diluluskan,” katanya menerusi laman facebooknya.
Tegas beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit, sudah tentu juga ada bajet kecemasan untuk bencana alam dan kerajaan yang cekap tahu bagaimana mengurus bencana banjir.
“Jangan jadi macam kerajaan PH Pulau Pinang tahun 2017. Guan Eng menangis telefon Zahid Hamidi (TPM) jam 3 pagi kerana berlaku banjir luar biasa di Pulau Pinang.
“Mengaku sahajalah PH belum bersedia. Rekod buruk PKR di PRK dan PRN Melaka dan Johor menghantui mereka. PKR belum jumpa fitnah sebesar 1MDB. Fitnah LCS gagal,” katanya lagi.
UMNO Online