Hail rindu tarawih di masjid

KUALA LUMPUR: Dalam sanubari pelakon dan penyanyi terkenal era 1970-an ini, masih terbayang kemeriahan Ramadan, tahun lalu.

Paling membekas dalam ingatan Hail Amir adalah peluang menunaikan solat tarawih berjemaah di masjid.

Biasanya, selepas berbuka, Hail bersiap-siap ke masjid ditemani keluarga untuk menunaikan solat sunat itu.

Selain beribadat, bagi Hail, itulah masanya dia bertemu rakan-rakan dan saling bertanya perkembangan diri.



Namun, tahun ini, semua rutin itu tidak dapat dilakukannya berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikuatkuasakan bagi membendung penularan COVID-19.

Dalam nada sebak, Hail atau nama penuh, Abdul Hail Amir ini meluahkan rasa rindunya untuk melakukan ibadat itu.

“Saban tahun, saya tidak pernah terlepas menunaikan solat tarawih di masjid atau surau berdekatan kawasan kediaman.

“Selain dapat beribadat, saya dapat bertemu kawan-kawan, bersembang dan saling bertanya khabar.



“Tapi tahun ini, saya tidak berpeluang melakukan rutin itu… Rasa rindu sangat. Walaupun boleh sembahyang di rumah, suasananya tidak sama,” katanya dalam nada suara tersekat-sekat sambil meminta maaf kerana gagal melawan perasaan sedih.

Ahad lalu, dalam perutusan khas, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan aktiviti ziarah yang dibenarkan bagi tiga perayaan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuat kuasa hingga 9 Jun ini, termasuk Aidilfitri yang bakal diraikan, dua minggu lagi.

Mengulas perkara itu, penyanyi yang cukup popular dengan lagu Wajah Kesayangan Hamba ini berkongsi rasa terkilan kerana tidak dapat meraikan Aidilfitri bersama keluarga di kampung.

“Setiap tahun kami sekeluarga balik ke Pulau Pinang untuk berhari raya. Walaupun kedua orang tua saya sudah tiada, tapi adik beradik dan saudara-mara ramai di sana. Rasa terkilan tidak dapat pulang kali ini.



“Tetapi tidak mengapa, saya faham arahan yang dikeluarkan adalah untuk kebaikan bersama.

“Keadaan tidak mengizinkan kita bergerak bebas. Biar apapun, saya bersyukur dapat meraikan Aidilfitri bersama isteri dan anak-anak di Kuala Lumpur,” luah pelakon berusia 64 tahun ini.

Kali terakhir bertemu Hail, kira-kira dua tahun lalu di sebuah acara hiburan, di mana ketika itu, dia menggunakan kerusi roda untuk bergerak.

Bagaimanapun, keadaan kesihatannya beransur baik, malah masih aktif menyanyi.



“Alhamdulillah, Tuhan masih memberikan saya kesihatan yang baik untuk terus mencari rezeki.

“Sebelum PKP fasa pertama dilaksanakan, saya sering menerima undangan untuk membuat persembahan.

“Sepatutnya, saya terbabit dengan program Hari Raya anjuran sebuah stesen radio. Namun, selepas PKP dikuatkuasakan, semua tawaran terhenti.

“Saya hanya duduk di rumah. Mujur ada sedikit simpanan yang boleh digunakan untuk meneruskan kehidupan.



“Kepada semua peminat, tak usah risau dengan keadaan kesihatan saya. Semuanya baik-baik sahaja.

“Marilah kita sama-sama berdoa semoga wabak ini segera berakhir dan kita dapat meneruskan kehidupan dan mencari rezeki,” pinta bapa kepada empat cahaya mata ini.

Sebelum ini, Hail pernah mengidap penyakit jantung sehingga tubuhnya menyusut 30 kilogram.




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading