Polis tahan doktor palsukan kelahiran bayi

ARAU: Polis menahan seorang doktor lelaki yang juga pakar sakit puan disyaki terbabit dalam pemalsuan dokumen kelahiran dan pemindahan milikan terhadap seorang bayi lelaki berusia tiga bulan pada 5 Mei lalu, di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Nanda Maarof, berkata penahanan lelaki berusia 51 tahun itu dilakukan jam 10 pagi kelmarin di sebuah klinik pakar swasta di Alor Setar, Kedah.

Penahanan bagi membantu siasatan selepas lima individu termasuk ibu dan keluarga angkat bayi berkenaan ditahan pada Jumaat lalu.

“Kita percaya dia ada menerima wang saguhati daripada keluarga angkat bayi terbabit bagi membantu memudahkan mereka memalsukan dokumen berkaitan kelahiran bayi.



“Pihak polis juga mengesyaki dia pernah melakukan aktiviti tidak bermoral ini terhadap pasangan yang lain, namun perkara itu masih dalam siasatan terperinci pihak polis,” katanya ketika ditemui pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau hari ini.

Nanda berkata, pihaknya turut merampas sebuah telefon bimbit dan dokumen berkaitan yang bertulisan tangan bagi membantu siasatan.

“Dia direman sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 48(2) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Akta Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran 2007,” katanya.

Sementara itu, Nanda berkata lima individu yang ditahan sebelum ini juga disambung reman sehingga esok bagi siasatan akta sama.



Jumaat lalu, polis menahan lima individu termasuk pasangan suami isteri kerana terbabit dalam pemalsuan dokumen kelahiran dan pemindahan milikan terhadap seorang bayi lelaki.

Turut ditahan adalah ibu kandung bayi berkenaan yang berusia 30 tahun dan lelaki berusia 62 tahun disyaki sebagai orang tengah dalam membantu pasangan berusia 37 dan 36 tahun itu bagi mendapatkan bayi berkenaan untuk dijaga.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker