Pemandu rempuh polis hingga maut dihadap ke mahkamah esok

KUALA LUMPUR: Lelaki yang disyaki memandu dalam keadaan mabuk dan merempuh seorang anggota polis hingga maut dalam sekatan jalan raya Op COVID-19 di Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuh Raya Kajang-Seremban (LEKAS) di Kajang 3 Mei lalu, akan dihadapkan ke mahkamah esok.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat, dalam satu kenyataan hari ini, berkata lelaki itu akan dituduh dengan empat pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kajang pagi esok.

“Lelaki itu akan dituduh mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 26(1) akta sama kerana memandu di bawah pengaruh alkohol serta memandu tanpa lesen sah.

“Selain itu, lelaki itu juga akan dituduh mengikut Seksyen 26(1) Akta Polis 1967 kerana tidak berhenti di sekatan jalan raya dan Peraturan 3(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, atas kesalahan berada di luar rumah tanpa alasan munasabah, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Dalam insiden pada 2.11 pagi 3 Mei lalu, Koperal Safwan Muhammad Ismail, 31, dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di badan dan kepala setelah dirempuh kenderaan pacuan empat roda yang dipandu lelaki berusia 44 tahun itu.

Sebelum ini, lelaki terbabit ditahan reman enam hari yang berakhir Jumaat lalu untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan dibebaskan dengan jaminan polis.

Bagaimanapun, lelaki itu ditahan semula pada hari yang sama dia dibebaskan untuk disiasat mengikut seksyen 304(b) Kanun Keseksaan kerana membunuh tanpa niat serta Seksyen 269 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan sebarang perbuatan yang dilakukan menyebabkan merebaknya penyakit yang membahayakan nyawa. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *