Kedai kopi antik kekal utuh dapat sambutan walaupun berusia lebih 80 tahun
Walaupun banyak kedai kopi moden, kedai tradisional ini tetap kekal.
KUALA KANGSAR – Sebuah kedai kopi dan roti antik berusia lebih 80 tahun masih kekal utuh di sini walaupun dihujani kedai hipster yang tumbuh bak cendawan selain menjadi tumpuan generasi muda ketika ini.
Bertapak di pekan Bandar Diraja, kedai ini tetap menjadi pilihan pengunjung dari dalam dan luar negara atas kesegaran rotinya yang diadun sendiri dan keenakan kopi yang ‘kaw’ selain kaya dengan seni bina lama yang masih kekal cantik sehingga kini.
Pengurus restoran terbabit (Restoran Double Lion), Leong Tean Chia, 60, berkata, kedai itu masih utuh kerana dibina dengan bahan pembuatan yang berkualiti sewaktu zaman terbabit termasuklah pemilihan perabot yang tahan lama dan mudah untuk dijaga.
“Kini, kita boleh lihat terlalu banyak kafe-kafe hipster yang muncul ibarat cendawan tumbuh selepas hujan berkonsepkan retro, urban dan sebagainya, semakin menjadi tarikan golongan muda.
“Di kedai kami, antara tarikannya adalah kewujudan perabot bercirikan hiasan klasik yang memerlukan pemuliharaan agar tidak musnah lebih-lebih lagi jika reput akibat anai-anai dan turut disajikan lagu-lagu lama klasik,” katanya.
Menurut Tean Chia, paling istimewa, kedai yang diuruskan oleh tiga generasi itu masih relevan hingga ke hari ini disebabkan kualiti pembuatan roti yang dijaga dari dulu hingga kini mengikut resipi turun-temurun.
“Dalam pembikinan roti, kami akan mengadunnya sendiri dan mempunyai resepi khas yang diwarisi dari zaman atok lagi.
“Kami akan sentiasa menjaga kesegaran dan kualiti roti di kedai kami agar pengunjung yang hadir akan berpuas hati dengan makanan di sini. Antara menu yang sentiasa menjadi pilihan orang ramai adalah roti ban bakar dan roti ban kukus yang akan disapukan marjerin serta kaya,” tambahnya.
Beliau percaya kesemua itu antara faktor kedainya masih relevan dan meniti di bibir pengunjung daripada pelbagai latar belakang termasuk golongan istana, orang kenamaan selain masyarakat setempat.
“Antara yang hadir ke sini adalah kerabat Sultan pada zaman 80-an termasuk golongan elit dan orang kenamaan dari Kolej Melayu Kuala Kangsar. Tidak terkecuali kehadiran tentera Australia dan British sebelum perang dunia kedua.
“Zaman dahulu, sesebuah majlis kebiasaannya akan disambut di kedai makan jadi kedai ini sentiasa menjadi tempat keramaian bagi menyambut majlis seperti perkahwinan atau hari lahir,” katanya.
Pembantu kedai, Ah Ling, 55, berkata, dia amat seronok bekerja di kedai berkenaan walaupun khidmatnya belum mencecah lima tahun.
“Saya seronok bekerja di sini, bos (pengurus) pun baik, selalu beri makan dan minum dan kerja juga tidak lah begitu berat memandangkan saya juga sudah berusia. Pelanggan juga sangat mesra. Semuanya baik-baik sahaja di sini,” kata wanita itu.
Kedai kopi ini tular dengan lebih 1,000 perkongsian di aplikasi akaun Tiktok @iamnazirul sehingga mencetus momen nostalgia oleh pengguna aplikasi tersebut yang berkongsikan kisah zaman kecil mereka.
© Harian Metro