Diego Costa kembali beraksi di EPL
LONDON: Wolves menandatangani bekas penyerang Chelsea dan Atletico Madrid, Diego Costa dalam perjanjian semusim.
Penyerang berusia 33 tahun itu tidak mempunyai kelab sejak meninggalkan kelab Brazil, Atletico Mineiro Januari lalu.
Wolves memerlukan penyerang tambahan selepas pemain yang baharu ditandatangani, Sasa Kalajdzic mengalami kecederaan lutut pada penampilan sulungnya menentang Southampton.
Pengerusi Wolves Jeff Shi berkata: “Kami mengalu-alukan kedatangan Diego Costa ke Wolves, dan kembali beraksi di Liga Perdana.
“Berdasarkan kejayaannya dalam banyak kejohanan dan pengalaman beraksi di tahap tertinggi, Diego akan membawa sesuatu yang unik ke bilik persalinan kami dan di atas padang dan kami menanti impaknya di Molineux.”
Wolves hanya menjaringkan tiga gol dalam enam perlawanan Liga Perdana musim ini dan menduduki tempat ke-14 dengan enam mata.
AFP