Berakhir penantian, trofi dalam genggaman
SHAH ALAM: Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-23 menyaksikan penantian dua penyanyi popular menggenggam trofi kemenangan berakhi.
Bagi penyanyi Liza Hanim dan Ernie Zakrie, tiada hadiah lebih bermakna selain memenangi kategori persembahan vokal terbaik pada acara berprestij itu.
Meskipun pernah kecewa apabila kerap pulang dengan tangan kosong walaupun sering dicalonkan dalam acara anugerah, namun Liza akur rezeki pasti akan berpihak kepadanya apabila tiba masa.
“Tak dinafikan, saya pernah rasa tawar hati dan berhenti berharap apabila tuah tidak pernah menyebelahi saya sepanjang lebih dua dekad penganjuran AIM.
“Justeru, saya sifatkan kemenangan ini sangat istimewa apabila nama diumumkan sebagai pemenang kategori Persembahan Vokal Terbaik Duo/Kolaborasi Di Dalam Lagu bersama Shila Amzah.
“Ini kerana saya sudah lama menantikan saat ini,” katanya kepada BH Online.
Berkongsi rasa yang sama dengan penyanyi Gelisah Mimpi itu, Ernie berkata, kejayaan juga hadir dengan tanggungjawab besar buatnya.
“Saya gembira kerana kerjaya saya dihargai dan diiktiraf. Banyak lagi perkara ingin dicapai dan mahu dilakukan lebih baik pada masa akan datang,” ujarnya.
Tambah isteri kepada penyanyi Syamel ini, dia akur dengan apa sahaja komen berhubung kemenangannya merangkul trofi Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita) menerusi lagu Sinar Mata Hati itu.
“Saya terima komen netizen mengenai kemenangan ini. Setiap orang ada cita rasa masing-masing. Apapun, saya bersyukur impian menjadi kenyataan,” luahnya.
Sebak dengan kemenangan diperoleh, Artis Baharu Terbaik AIM 23, Vanessa Reynauld terharu apabila bakatnya mendapat pengiktirafan juri profesional.
“Saya sebak dan menangis apabila nama diumumkan sebagai pemenang serta naik ke pentas. Ini kerana akhirnya apa yang saya impikan selama ini menjadi kenyataan.
“Trofi ini sangat bermakna kerana ada juga pihak nampak bakat saya dan terima kehadiran saya dalam industri muzik,” katanya.
Mengungguli kategori Lagu Pop Etnik Terbaik, bekas peserta program Akademi Fantasia, Ziha Salleh teruja apabila genre yang menjadi kegemarannya mendapat pengiktirafan tertinggi dalam acara itu.
“Selain permintaan ayah yang mahu saya menyanyikan lagu tradisional, saya sendiri memang sukakan lagu sebegini. Insya-Allah, saya akan terus menyanyikan lagu genre Irama Malaysia kerana ini adalah diri saya,” janjinya.
Sebagai artis bebas, Arddley Nicholas berkata, kejayaannya dianugerahkan dengan trofi Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki) membuktikan apa yang diusahakannya membuahkan hasil.
“Saya berkarya secara bebas, menulis lagu dan rakam lagu sendiri. Tak sangka pencalonan yang dihantar sendiri diterima hingga berjaya meraih kemenangan ini,” katanya yang membawa kejayaan menerusi lagu Pilu.
Bagi Datin Alyah yang kali pertama dicalonkan dalam AIM 23 menerusi kategori Lagu Nasyid Terbaik, kemenangan itu membawa makna cukup besar dalam dirinya.
“Kemenangan ini bagaikan satu isyarat dari Tuhan seakan merestui hasrat saya untuk menyanyikan lagu bermesej positif dan berunsur dakwah,” ungkapnya.
BHOnline