Umno jadi pembangkang jika PRU15 dilewatkan
Pakatan Harapan akan kembali memerintah
Oleh – Ku Zairi Ku Kamal
Diramalkan PRU15 akan menjadi medan penentuan samada Umno terus ‘hidup’ atau kembali jadi pembangkang sekiranya tarikh pembubaran Parlimen dilewatkan.
Gosip politik sudah mula berlegar kembalinya Pakatan Harapan memerintah bila Perdana Menteri, Ismail Sabri masih berteka-teki tarikh pembubaran Parlimen.
Risiko untuk pengharaman Umno selepas PRU15 amat tinggi dan parti tidak boleh memperjudikan nasib sebuah parti terbesar Orang Melayu untuk dikuburkan hanya kerana kesilapan seorang Naib Presiden.
Terlalu banyak risiko yang boleh menimpa Umno dan mungkin kali ini lebih teruk dari apa yang berlaku selepas Mei 2018.
Walau telah banyak kali menyatakan pendirian untuk membubarkan Parlimen dalam masa terdekat, Naib Presiden Umno merangkap Perdana Menteri seperti memainkan perasaan ahli Umno sendiri.
Dihadapan jentera Umno, Ismail bersemangat memberi janji akan membubarkan Parlimen tetapi bila berdepan dengan Perikatan Nasional, nada terus bertukar menjadi lunak.
Ketiadaan Najib juga digunakan pihak lawan untuk memperlekehkan Umno yang selama ini dipertahankan bekas Perdana Menteri itu dari serangan PH dan PN.
Ini membolehkan PN dan PH kembali mengumpulkan kekuatan mereka yang telah mengalami defisit moral sejak kekalahan pertama PRK diikuti 2 PRN, Melaka dan Johor.
PERIKATAN NASIONAL YAKIN MENANG BESAR JIKA PRU TAHUN HADAPAN
PN yang digerakkan PPBM bersama PAS, Gerakan dan Upko yakin mereka mampu memenangi 2/3 kerusi Parlimen.
Jika tidak, masakan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Muhyiddin Yassin berani menyerang PM secara terbuka.
Lain pula cerita PH yang mula mengorak langkah apabila mempertimbangkan permohonan MUDA dan PSM untuk bersama. Apatah lagi kini kembalinya ‘penghasut besar’ bernama Rafizi Ramli.
Ini akan memberi PH kelebihan menarik pengundi 18 untuk berpihak kepada mereka. Cukup dengan cerita politik sensasi, agak mudah PH untuk menggunakan pengaruh MUDA bagi menarik perhatian anak muda yang akan menjadi penentu undi PRU15.
Pembangkang kini bermati-matian mahu PRU diadakan pada tahun hadapan. Mengapa? Alasan banjir hanya digunakan untuk kepentingan politik mereka. Ini bagi membolehkan mereka ‘membeli’ masa mempersiapkan jentera parti semaksima mungkin.
Terpulang kepada Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob samada mahu menggunakan Hak Prerogatif untuk menasihati Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong untuk membubarkan Parlimen tahun ini atau tidak.
Untuk membuat keputusan popular di pihak lawan atau berfikir mengenai survival Umno itu sendiri kini berada di tangan Naib Presiden Umno.
Akar Umbi UMNO Sudah Tidak Berminat Dengan Pertemuan Top 5, Tetapi Menunggu Keputusan 28 September