Unimap miliki fasiliti cleanroom tercanggih
Universiti Malaysia Perlis (Unimap) berpotensi membantu industri mikroelektronik menggunakan cleanroom sebagai kelebihan selaras dengan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) dan masa depan sektor Elektrik dan Elektronik negara.
Oleh Azrin Muhammad
KUALA LUMPUR – Universiti Malaysia Perlis (Unimap) menerusi Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektronik (FTKEN) mendahului universiti awam (UA) lain apabila menawarkan kursus mikrofabrikasi menggunakan fasiliti cleanroom sendiri.
Menurut dekannya, Prof. Madya Dr. Azremi Abdullah Al-Hadi, cleanroom atau bilik bersih adalah sebuah ruang fasiliti yang persekitarannya dikawal supaya menjadi sangat bersih dan ditawarkan kepada semua peringkat bermula dari Diploma, Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD).
“Bahan-bahan cemar seperti debu-debu, mikrob-mikrob, zarah-zarah aerosol dan sebagainya akan ditapis dengan menggunakan penapis berteknologi tinggi yang dipanggil High-Efficiency Particulate Absorbing (HEPA) Filter.
“Cleanroom menempatkan alatan-alatan canggih dan berteknologi tinggi untuk menjalankan proses-proses penghasilan komponen elektronik seperti transistor, diod, perintang, kapasitor dan banyak lagi,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.
Tambahnya, proses penghasilan perlu dilakukan dalam persekitaran yang sangat bersih kerana bahan-bahan cemar boleh merosakkan komponen elektronik.
Kataya lagi, komponen elektronik merupakan bahagian yang sangat penting dalam sesebuah peranti elektronik seperti telefon pintar, jadi cleanroom adalah sebuah fasiliti yang sangat penting tetapi memerlukan kos untuk membina, kos operasi dan penyelenggaraaan yang sangat tinggi.
“Selain daripada ketepatan dan kejituan pemboleh ubah seperti suhu, tekanan aliran udara, kelembapan dan bilangan zarah, ia juga melibatkan penggunaan teknologi canggih yang disebut sebagai teknologi mikrofabrikasi litar sepadu (IC Microfabrication Technology).
“Teknologi canggih ini berkembang secara meluas selama bertahun-tahun sejak dicipta pada tahun 1945.
“Kita dapat menggunakan peranti telefon pintar berteknologi tinggi pada hari ini adalah hasil kejayaan teknologi mikrofabrikasi terkini,” ujarnya.
Sementara itu, Penyelaras Cleanroom FTKEN Unimap, Prof Madya Dr Mahyiddin Ramli berkata, semua peranti elektronik yang digunakan dalam kehidupan seharian bergantung kepada tiga perkara penting iaitu cleanroom; teknologi mikrofabrikasi yang canggih dan pengetahuan serta kemahiran manusia.
“FTKEN dapat menyediakan ketiga-tiga perkara penting berkenaan iaitu ‘state-of-the-art cleanroom’, teknologi dan alatan-alatan mikrofabrikasi serta pensyarah atau penyelidik yang berkemahiran.
“Pelajar digalakkan menggunakan kemudahan ini untuk kursus teras dan juga aktiviti penyelidikan seperti projek tahun akhir, manakala penyelidik pascasiswazah juga digalakkan untuk berinovasi dan menghasilkan pelbagai peranti dalam pelbagai bidang seperti elektronik, nanoteknologi dan sains bahan,” katanya.
Tambahnya lagi, kemudahan cleanroom itu juga dapat menjadi batu loncatan kepada Unimap bagi mencapai aspirasi Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN) untuk Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) berasaskan praktikal.