Noraini rasmi JR Wanita UMNO Sabak Bernam
(Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad (baju biru) teruja melihat kehadiran yang begitu ramai dalam Majlis Pelancaran JR Wanita UMNO Bahagian Sabak Bernam di Politeknik Sultan Idris Shah, Sungai Lang, Sabak Bernam, Selangor, baru-baru ini)
Oleh Rohana Man
SABAK BERNAM – Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad teruja melihat semangat yang ditunjukkan jentera Jalinan Rakyat (JR) Wanita UMNO Bahagian Sabak Bernam.
Menurutnya, semangat itu ditunjukkan melalui kehadiran ahli dan petugas JR yang begitu ramai pada Majlis Pelancaran JR Wanita UMNO Bahagian Sabak Bernam, Sabtu lalu.
Dalam ucapan perasmian majlis itu, Noraini menegaskan perpaduan dan solidariti ahli dan pemimpin UMNO sangat penting dalam usaha parti mempersiapkan diri menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak lama lagi.
“Saya yakin UMNO Bahagian Sabak Bernam mampu menyumbang kemenangan Barisan Nasional (BN) nanti,” katanya pada Majlis Pelancaran JR Wanita UMNO Bahagian Sabak Bernam di Politeknik Sultan Idris Shah, Sungai Lang, Sabak Bernam, Selangor, baru-baru ini.
Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Sabak Bernam, Datuk Abd. Rahman Bakri dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Sabak Bernam, Datuk Rizam Ismail.
Noraini turut mengucapkan tahniah kepada Ketua Wanita UMNO Sabak Bernam, Siti Rukiah Mohd Taib dan seluruh ahli Wanita UMNO Bahagian Sabak Bernam yang bekerja keras memastikan tugas yang diamanahkan parti berjalan lancar.
“Semoga kita semua terus istiqamah dalam perjuangan ini,”tambah Noraini.
Sementara itu, laman Facebook Wanita UMNO Sabak Bernam rata-rata berkongsi tentang majlis perasmian tersebut yang dipenuhi dengan ucapan tahniah kepada semua yang terlibat dalam menjayakan majlis pelancaran berkenaan.
Parlimen Sabak Bernam (P.92) mengandungi dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu DUN Sungai Air Tawar (N.01) dan DUN Sabak (N.02).
Parlimen Sabak Bernam dan DUN Sungai Air Tawar milik BN selepas calon UMNO, Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh menang dalam PRU-14 yang lalu. Beliau merupakan Ahli Parlimen Sabak Bernam sejak 2013.
DUN Sungai Air Tawar (N.01) juga dimiliki BN apabila calon UMNO, Datuk Rizam Ismail menang dalam PRU-14 pada 2018. Beliau kini menyandang jawatan Ketua Pemuda UMNO Sabak Bernam.
Bagaimanapun DUN Sabak (N.02) dimiliki Parti Keadilan Rakyat (PKR) menerusi kemenangan yang dicatatkan calon parti itu, Ahmad Mustain Othman dalam PRU-14.
Sehubungan itu, menjadi tanggungjawab dan tugas seluruh ahli dan pemimpin UMNO Sabak Bernam untuk mengekalkan kerusi Parlimen Sabak Bernam dan DUN Sungai Air Tawar, selain menggerakkan jentera yang lebih agresif bagi merampas kerusi DUN Sabak daripada PKR dalam PRU-15 nanti.