Morata bawa Sepanyol ke separuh akhir

BRAGA, Portugal: Jaringan lewat permainan Alvaro Morata memberikan Sepanyol kemenangan 1-0 ke atas Portugal di Braga sekali gus membawa mereka ke separuh akhir Liga Negara-Negara UEFA.

La Roja perlu menang untuk menjuarai Liga A Kumpulan 2, tetapi buntu mencari gol sehingga Morata menemui sasaran pada minit ke-88.

Sepanyol dilihat belum mencapai prestasi terbaiknya menjelang Piala Dunia Qatar, tetapi kemenangan di pentas Eropah ini mencetus semangat baharu buat skuad kendalian Luis Enrique.



Portugal tampak lebih menguasai permainan tetapi Sepanyol menyerlah di minit-minit akhir selepas Enrique memasukkan pemain-pemain gantian, termasuk Nico Williams yang memuat umpanan untuk jaringan Morata.

“Kami berjuang hingga ke akhir. Nico Williams, dalam perlawanan keduanya untuk pasukan kebangsaan, adalah kunci kejayaan dan saya hanya menyempurnakannya,” kata Morata.

Sepanyol akan menyertai Itali, Croatia dan Belanda di separuh akhir pada Jun 2023, walaupun tumpuan kini adalah kepada Piala Dunia yang akan berlangsung dua bulan lagi – kecuali bagi Itali.

Penjaga gol Athletic Bilbao, Unai Simon beraksi cemerlang menafikan percubaan Portugal termasuk daripada Ruben Neves, Diogo Jota dan Cristiano Ronaldo.



Tanpa sebarang percubaan ke arah gol di babak pertama, Enrique memasukkan Pedri, Gavi dan Yeremy Pino untuk membantu jentera serangan La Roja.

Dani Carvajal membuat hantaran kepada Williams dan tandukan pemain itu membolehkan Morata menolak mudah bola ke gawang Portugal.

Ronaldo sekali lagi dinafikan oleh Simon di akhir permainan dan pengendali Portugal, Fernando Santos kecewa pasukannya gagal memanfaatkan deretan peluang untuk memenangi perlawanan berkenaan.

“Kami mempunyai banyak peluang dan Sepanyol hanya sedikit, kami sedih, kami mahu ke final. Ronaldo mempunyai tiga atau empat peluang yang biasanya dia sempurnakan, tetapi tidak kali ini,” kata Santos.



AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button