MAVCOM dan CAMM digesa atasi masalah kenaikan harga tiket
KUALA LUMPUR – Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) menggesa pihak berwajib seperti Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengatasi isu kenaikan tambang penerbangan dengan segera kerana menjejaskan intergrasi nasional dan antarabangsa dalam industri pelancongan negara.
Dalam masa sama, Presidennya, Datuk Mohd Khalid Harun berkata, langkah itu bagi membolehkan agensi pelancongan dan pengembaraan membuat pelbagai promosi produk pelancongan yang secara langsung melibatkan syarikat penerbangan sebagai satu komponen dalam penyediaan pakej pelancongan.
Mohd Khalid berkata, MAVCOM berperanan membendung kenaikan tambang kapal terbang ketika waktu puncak seperti musim cuti sekolah dan cuti perayaan.
“MATA tidak menafikan kenaikan harga tiket perbangan kerana adanya satu permintaan yang tidak dijangka apakala Malaysia keluar dari Pendemik pergi ke endemik.
“Rata-rata rakyat Malaysia memang berhasrat untuk mengambil cuti rehat sama ada di dalam atau di luar negara. Oleh kerana permintaan tinggi yang mendadak itu sudah tentu akan berlaku kenaikan harga .
“Difahamkan juga syarikat penerbangan menjual tempahan terbuka kepada agensi agensi pelancongan secara pukal yang mana mereka mengambil kesempatan juga menjualkannya semula kepada agensi-agensi yang memerlukan lebih-lebih lagi dalam sektor Umrah,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan kenaikan pakej umrah tidak dapat dielakkan berikutan isu seperti tukaran mata wang Ringgit Malaysia yang jatuh rendah berbanding Riyal Saudi, sekali gus memberi kesan kepada fi visa, tiket penerbangan, bilik penginapan, pengangkutan, cukai lapangan terbang dan kos-kos lain yang berkaitan.
“MATA difahamkan oleh MAHB bahawa syarikat syarikat penerbangan ke Timur Tengah belum beroperasi sepenuhnya seprti sebelum pandemik kerana sekarang yang beroperasi ialah Malaysia Airlines, Saudi Airlines dan Qatar Airways, dengan purata 8 penerbangan sehari dan maksimum 10.
“Syarikat penerbangan seperti Kuwait Airlways , Jordan Airlines dan Oman Air belum muncul.
“Air Asia dan Batik Air belum pasti. Turkish Airlines terbang terus ke Istanbul (menjadikan pakej umrah melalui Istanbul ) satu pilihan dan harga pakej pasti naik sikit,” ujarnya.
Bagi isu kenaikan tiket penerbangan domestik, Mohd Khalid mencadangkan agar pihak syarikat penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mengadakan satu sesi libat urus dengan rakan strategik mereka seperti persatuan-persatuan pelancongan dan pengembaraan atau agensi-agensi pelancongan bagi mendapatkan maklum balas mengenai kenaikan tambang penerbangan.
“Syarikat penerbangan tidak sepatutnya mengetepikan peranan persatuan pelancongan maupun agensi pelancongan yang mana kami adalah yang amat terkesan semasa pandemik Covid-19 melanda dunia,” ujarnya.
© Astro Awani